PASIR PUTEH: Jabatan Perikanan mengeluarkan dana sebanyak RM5.8 juta untuk membangunkan projek tukun konservasi dalam usaha menambah sumber laut dan biodiversiti ikan di perairan Kelantan sejak 2009.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, peruntukan itu diagihkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan hasil laut di Zon A dinikmati nelayan kecil.
Menurutnya, setakat ini, sebanyak 300 tukun konservasi dan rekreasi berjaya dilabuhkan di dasar perairan Pantai Tok Bali, Pantai Bachok, Kota Bharu dan Tumpat.
“Sebanyak 12 tukun konservasi dilabuhkan di lokasi 10 kilometer dari Kuala Tok Bali hari ini. Program yang sama akan dilaksana di Tumpat melibatkan tujuh buah tukun, Kuala Besar di Kota Bharu dan Pantai Irama di Bachok masing-masing 17 buah tukun dan 12 tukun di Tok Bali sepanjang tahun ini.
“Kerajaan Persekutuan juga menyalurkan dana sebanyak RM412,000 manakala kerajaan negeri sebanyak RM300,000 pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Melabuhkan Tukun Konservasi tukun di perairan Tok Bali, di sini hari ini.
Tuan Mohd. Saripudin memberitahu, kerajaan negeri masih memerlukan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk membina dua kompleks tukun konservasi di perairan negeri ini berdekatan lokasi strategik yang dikenal pasti oleh Jabatan Perikanan.
Katanya, tukun konservasi turut dikenali sebagai tukun dasar lembut penghalang pukat tunda seberat 15 tan setiap unit juga memerlukan perbelanjaan tinggi bagi kos pengangkutan feri tongkang dan jentera kren sebelum dibenamkan ke dasar laut.
“Lokasi tukun ditetapkan oleh Jabatan Perikanan menggunakan khidmat kepakaran agensinya selain melakukan kajian saintifik dan kerja pembersihan jika ada sisa pukat tunda yang tersangkut.
“Hasil kajian terkini mendapati pelbagai spesies ikan menjadikan tukun berkenaan sebagai habitat dan tempat membiak dengan selamat,” ujarnya.
Tuan Mohd. Saripudin berkata, seunit tukun berupaya menyumbang sebanyak 6 tan ikan matang bernilai RM12,000 dan kajian mendapati terdapat 28 spesies ikan komersial membiak di kawasan tersebut. – UTUSAN











