PADANG TERAP: Seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai penoreh getah cedera akibat ditembak di bahu dalam kejadian di kawasan kebun getah di Naka, semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membabitkan lelaki Myanmar berusia 40-an itu pada pukul 5.45 petang
“Sepasukan anggota dan pegawai polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa cedera di bahu akibat ditembak. Dia dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan ,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan seorang wanita warga Thailand ditemukan maut disyaki akibat ditembak di tepi jalan berdekatan Durian Burung, di sini, petang semalam.
Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis termasuk motif kejadian dan penglibatan suspek dalam kedua-dua kes terbabit. -UTUSAN










