Manfaatkan Tokoh Puisi Kebangsaan sebaiknya

Manfaatkan Tokoh Puisi Kebangsaan sebaiknya

BAHA Zain (tiga dari kanan) menerima anugerah TPK 2022 Peringkat Pusat daripada Dr. Tan Awang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN berasaskan puisi, tetapi Hari Puisi Nasional (HPN) yang bermula pada 1971, Hari Puisi Malaysia (HPM) – bermula pada 13 Jun 2021, dan Hari Puisi Kebangsaan (HPK – bermula pada 12 Julai 2022), ia berbeza.

Tarikh penganjuran HPN yang telah pun masuk kali ke-22, tidak ditetapkan. Ia boleh dilangsungkan pada awal, pertengahan ataupun penghujung tahun, setiap dua atau tiga tahun sekali. HPN ke-22 berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 28 dan 29 Jun lalu.

Dengan 13 Jun dan 12 Julai, bermakna tarikh sambutan HPM dan HPK telah ditentukan setiap tahun. Kedua-duanya boleh disambut dengan sekadar menyebut, atau turut dimeriahkan oleh pelbagai acara berkaitan.

Setiap perkara memang ada pro dan kontra, atau penyokong dan penentang. Selain disambut baik serta gembira, kewujudan HPN, HPM dan HPK juga boleh mengundang kritikan, mengelirukan serta membingungkan penyair, dan peminat puisi sendiri.

Melalui tulisan ini, saya hanya ingin berbicara mengenai HPK yang baru berusia dua tahun pada 12 Julai lalu.

Tarikh 12 Julai yang dipilih sebagai hari sambutan HPK saban tahun, adalah berdasarkan tarikh kelahiran Sasterawan Negara (SN) ketiga, Datuk Dr. Usman Awang pada 12 Julai 1929.

Satu lagi perbezaan HPK dengan HPM, ialah HPM terbuka kepada puisi pelbagai bahasa di Malaysia.

Mengimbau kembali, sambutan HPK 2022, iaitu yang pertama turut dimeriahkan oleh beberapa acara tertentu.

Pelancarannya pada 12 Julai 2022 di Rumah GAPENA, Bukit Petaling, Kuala Lumpur oleh Dr. Tan Awang, yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (ketika itu), Datuk Saraya Arbi. Bersempena pelancarannya, turut diadakan Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan (TPK) 2022 Peringkat Pusat. Datuk Baha Zain (Baharuddin Zainal), dan Datuk Rahman Shaari diangkat sebagai TPK 2022 berkenaan.

Seiringan dengan itu, diadakan juga Anugerah TPK Peringkat Negeri. Anugerah tersebut berlangsung dari 13 Julai hingga 31 Julai 2022, walaupun entah mengapa tidak diadakan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Labuan. Menariknya, dua penyair terpilih sebagai TPK peringkat Perak.

Penyair yang terpilih sebagai TPK 2022 Peringkat Negeri antaranya yang saya sebut sebahagiannya di sini ialah Datuk Jasni Matlani untuk Sabah, Leo AWS (Kelantan), Allahyarham Pyanhabib Rahman (Kuala Lumpur), Saie Driss (Sarawak), Aladdin Mohamad (Melaka), Mohd. Rosli Bakir (Johor) dan Hilmi Rindu (Terengganu)

Walaupun HPK 2022 agak meriah, namun setahu saya lebih banyak negeri tidak mengumumkan TPK masing-masing untuk HPK 2023.
Punca ‘menguncup’ itu yang menjadi persoalan, tetapi ramai berpendapat ia adalah faktor kewangan atau peruntukan. Benarkah kerana masalah duit, atau sebenarnya belum layak?

Kalau saya tidak silap, hanya penyanyi, penulis lirik dan komposer terkenal tanah air, Sani Sudin diangkat sebagai TPK 2023 Peringkat Negeri, iaitu bagi Kuala Lumpur, yang juga dicalonkan oleh PENA.

TPK 2023 Peringkat Pusat ialah Datuk Dr. Zurinah Hassan, dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2000, Datuk Dr. Lim Swee Tin.

Selepas TPK 2024 Peringkat Pusat diketahui, kita menunggu siapa pula TPK 2024 Peringkat Negeri. Diharap tidak sebagaimana pada 2023.

Saya tidak mahu bersangka buruk kerana antara syarat layak pencalonan adalah calon perlu memiliki lima kumpulan puisi sebelum tahun berkaitan.

Sekali fikir, syarat itu dianggap ketat. Bagaimanapun, ia tetap membawa kebaikan, antaranya kerana boleh menjadi penanda aras keampuhan penyair.

 

Daripada satu segi, ia tidak mengapa kerana pencalonan dan pemilihan diadakan saban tahun. Lambat-laun, negeri yang belum ada TPK akan memperolehnya juga.

Namun demikian, sama seperti anugerah sastera untuk peringkat pusat dan peringkat negeri sejak dahulu, karyawan perlu mencalonkan diri sendiri dengan menyerahkan salinan semua karya yang relevan dalam tempoh tertentu kepada pihak urus setia.

Ada yang berkata, cara itu tidak adil, dan menyeluruh kerana kalau terdapat karyawan yang berpotensi besar atau layak menang, tetapi tidak menghantar pencalonan dirinya, dia terlepas peluang. Secara tidak langsung, dia juga dipandang sebelah mata oleh pengikut sastera tanah air, dan umum.

 

Ada seperkara lain yang saya ingin sentuh di sini, iaitu sebagaimana juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (juga anjuran GAPENA) setiap tahun, ilmu, kemahiran dan pengalaman TPK peringkat pusat dan negeri yang terpilih wajar turut dimanfaatkan sebaik-baiknya, demi perkembangan dunia perpuisian tanah air.

Program yang berkaitan, seperti ceramah atau bengkel misalnya, yang melibatkan mereka elok diadakan dari semasa ke semasa untuk membimbing calon penyair, malah penyair yang masih berkarya.

Penulis muda, pemula dan calon penulis tentu sahaja mahu mengikuti program yang disebutkan tadi, tanpa terlalu berkira kos yang perlu dikeluarkan.

Sementelah pun TPK. Wajarlah memiliki dan memperoleh kelebihan berbanding dengan penyair yang bukan atau belum TPK.

Sementara itu, untuk tahun ini, iaitu tahun ketiga sambutan, GAPENA dan badan gabungannya di seluruh Malaysia sebagai penganjur, menyambut HKP2024 di sepanjang bulan ini, bermula 13 Julai hingga 13 Ogos depan.

HPK2024, yang bertemakan Puisi Lambang Peradaban Bangsa, menobatkan dua penyair mapan dan veteran tanah air, iaitu Puzi Hadi dan Marzuki Ali sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2024 Peringkat Pusat.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×