Pemandu bas bawa pelancong ke Thailand kantoi ambil ganja

Pemandu bas bawa pelancong ke Thailand kantoi ambil ganja

STIEN Van Lutam (tengah) meninjau Op Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam 2024 di Plaza Tol Hutan Kampung arah utara di Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengesan seorang pemandu bas persiaran terlibat penyalahgunaan dadah dalam Op Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam di Plaza Tol Hutan Kampung arah utara, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarahnya, Stien Van Lutam berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan ketika memandu bas persiaran yang membawa 42 pelancong dari Pulau Pinang ke Thailand.

“Lelaki berasal dari Pulau Pinang ini dikesan menyalahguna dadah jenis ganja setelah pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melakukan ujian urin. Bas yang membawa pelancong itu kemudian meneruskan perjalanan ke Thailand dengan pemandu gantian.

“Usaha ini perlu bagi memastikan keselamatan jalan raya bukan setakat penumpang malah pengguna jalan raya lain,” katanya ketika meninjau operasi tersebut hari ini.

Beliau menambah, JPJ memeriksa 1,116 kenderaan sepanjang operasi tersebut yang bermula 19 Julai lepas sehingga hari ini di tiga lokasi.

“Sebanyak 138 buah kenderaan yang diambil tindakan selain sejumlah 329 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan di atas kegagalan mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan.

“Kesalahan paling tinggi ialah tidak mempunyai lesen memandu kompeten (CDL) iaitu sebanyak 66 kes dan lesen tamat tempoh sebanyak 30 kes,” katanya.

Jelasnya, selain itu pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) turut mengeluarkan notis kepada enam bas persiaran pelancongan yang tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong dan tidak menggunakan bas pelancong.

“Operasi khas ini adalah usaha kita untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap kenderaan pelancongan dan perkhidmatan awam termasuk pemandu atau atau pemilik kenderaan bermotor yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333) serta kaedah-kaedah di bawahnya.

“Ia dijalankan dengan kerjasama Motac, AADK dan agensi-agensi lain yang melibatkan seramai 24 anggota daripada Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Kedah, 13 kakitangan Motac dan 11 anggota AADK,” katanya.–UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN