Ugut isteri, lelaki didenda RM1,500 Ugut isteri, lelaki didenda RM1,500

Ugut isteri, lelaki didenda RM1,500

P. KUMAR mengaku bersalah atas tuduhan mengugut mahu mencederakan isterinya di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Tindakan lelaki mengugut mahu mencederakan isterinya membawa padah apabila dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh, P. Kumar, 49, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret T. Ashvinii.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan niat menyebabkan cemas ke atas wanita berusia 43 tahun di hadapan pintu pagar sebuah rumah di Hutan Melintang dalam daerah Bagan Datuk pada pukul 2.40 petang, 18 Julai 2024.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap lelaki itu ekoran ugutan jenayah tersebut dilakukan terhadap isterinya sendiri.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis bagaimanapun memohon agar tertuduh dikenakan hukuman denda minimum atas alasan bekerja sendiri dan perlu menanggung tiga anak.

Faustina juga memberitahu mahkamah bahawa tertuduh dan isterinya itu tidak tinggal bersama sejak empat tahun lalu.

Difahamkan, ugutan jenayah tersebut berpunca daripada salah faham antara suami isteri itu berkaitan anak di mana wanita berkenaan meninggalkan pesan melalui WhatsApp supaya lelaki terbabit tidak mengambil kanak-kanak itu di sekolah.

Lelaki itu yang tiba di sekolah dikatakan berang apabila menyedari anaknya tiada kerana telah diambil oleh ibunya.

Tindakan isterinya itu menimbulkan kemarahan hingga menyebabkan dia mengugut untuk mencederakan isterinya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN