KAJANG: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan mereka yang mayatnya ditemukan dalam keadaan terbakar berhampiran Empangan Semenyih, bulan lalu.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada pekerja bengkel, Zulkarnain Md. Ariffin, 44, serta dua pekerja syarikat elektrik, Muhamad Iqbal Zainal, 30, dan Syed Fikri Barakhbah Syed Mohd. Bakri, 28, selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Hafzan Ab. Aziz.
Ini kerana kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu bersama-sama didakwa membunuh Mohamed Afiq Hamdan, 29, di antara pukul 3 dan 5 pagi, 22 Jun lalu di sebuah kawasan lot rumah di Jalan Hulu Langat, Batu 16, Dusun Tua di sini.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 23 Ogos bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan misteri pembunuhan seorang lelaki pada bulan lalu terungkai apabila empat lelaki ditahan di Kawasan Batu 14, Hulu Langat, di sini pada 11 Julai lalu.
Mayat lelaki itu ditemukan terbakar dan dibuang di Kawasan semak samun berhampiran Empangan Semenyih pada 23 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd, Yusof berkata, motif pembunuhan mangsa dipercayai kerana hutang RM7,000 yang dibuat lelaki itu terhadap suspek. – UTUSAN











