Representasi Sang Kelembai gugur kes hantaran jelik ditolak - Utusan Malaysia

Representasi Sang Kelembai gugur kes hantaran jelik ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi penulis blog ‘Sang Kelembai’ untuk menggugurkan pertuduhan membuat dan memulakan hantaran jelik mengenai urusan pembelian vaksin menerusi laman Facebook.

Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, tertuduh Datuk Abd. Zarin Mohd Yasin, 72, menyerahkan representasi itu kepada AGC pada Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata, keputusan representasi telah dimaklumkan kepada pihak pembelaan menerusi e-mel dan kes diteruskan dengan perbicaraan.

Hakim Siti Aminah Ghazali kemudian menetapkan Abd. Zarin dibicarakan pada 12 Ogos seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Sementara itu, peguam Mohd. Shamril Afzan yang mewakili Abd Zarin mengesahkan menerima keputusan representasi tersebut.

Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menerusi aplikasi Facebook ‘Zaharin Mohamad Yasin’ pada 2.03 pagi, 21 Disember 2020.

Hantaran itu dibaca di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada 3 petang, 22 Disember 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×