PEKAN: Jenazah mangsa kes bunuh Nur Farah Kartini Abdullah, 25, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Bentan di sini, selepas pengesahan mayat dlakukan menerusi ujian asid deoksirinobukleik (DNA) di Hospital Sungai Buloh.
Jenazah Allahyarham dibawa dari hospital itu pada pukul 2.05 petang menaiki van jenazah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan tiba di tanah perkuburan pada pukul 5 petang.
Ketibaan jenazah turut diiringi kenderaan pengiring polis serta ahli keluarga. Hadir sama wakil Kerajaan Negeri Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindutrian, Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar, Datuk Mohamad Nizar Najib.
Ratusan penduduk tempatan dan kenalan Allahyarham termasuk kakitangan UPSI hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Kehilangan Nur Farah Kartini yang hilang sejak Rabu minggu lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang dekat Felda Gedangsa, Hulu Selangor, pada Isnin.
Mangsa yang bekerja sebagai pegawai pemasaran disyaki dibunuh dan ekoran itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, abang mangsa, Mohd. Farriza Amir Abdullah, 28, berkata, keluarganya menyerahkan kepada polis untuk siasatan kes tersebut.
“Terima kasih juga kepada pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang banyak membantu kami,” katanya. – UTUSAN










