TFC mahu kekal rekod bersih di laman sendiri

TFC mahu kekal rekod bersih di laman sendiri

PARA pemain Terengganu FC (TFC) menjalani sesi latihan menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Kompleks Sukan Gong Badak. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi mencari bekalan selesa pada aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, malam ini.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, rekod kemenangan 100 peratus dalam empat perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin musim ini boleh menjadi motivasi terbaik buat barisan pemainnya.

Apatah lagi, menurutnya, pasukan lawan bakal ditentang iaitu Selangor bukan calang-calang turun selaku pasukan kedua terbaik Liga Malaysia (Liga M) di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun lalu.

Menurut Steinbruckner, dia menjangkakan tentangan lebih sukar selain mahu Sang Penyu tidak lagi dibuai mimpi kemenangan besar 7-0 secara agregat ke atas Sabah di peringkat suku akhir.

“Kami perlu lupakan (aksi menentang Sabah) kerana ini ialah perlawanan berbeza dengan kualiti pemain yang seimbang di semua posisi dan TFC tidak boleh berharap untuk menang besar sekali lagi.

“Namun TFC berada dalam momentum lebih baik berbanding Selangor yang tewas 0-1 kepada KL City, minggu lalu, dan dengan rekod bersih di laman sendiri, saya fikir kami ada kelebihan.

“Aksi pasti sengit dan pemenang mungkin hanya akan ditentukan pada aksi timbal balik nanti tetapi saya berhasrat membawa TFC ke pentas final,” ujarnya ketika ditemui di sini, semalam.

Jurulatih kelahiran Croatia itu menjelaskan, tiada percaturan istimewa bagi melayan kunjungan Selangor dengan trio Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Ismaheel Akinade akan mengetuai jentera serangan TFC.

Skuad The Red Giants pula yang bergelut mengatasi Kuching City sebelum lolos ke separuh akhir akan turun tanpa kelibat ayam tambatan, Yohandry Orozco dan Reziq Bani Hani yang digantung perlawanan.

Steinbruckner bagaimanapun tidak melihat situasi itu memberi kelebihan besar buat TFC sebaliknya memilih pendekatan untuk menumpukan perhatian kepada persiapan pasukannya sendiri.

“Orozco pemain penting mereka namun Selangor memiliki lebih daripada 11 pemain yang berkualiti termasuk Roni (Fernandez) dan Alvin (Fortes) selain tonggak tempatan yang tidak kurang hebat.

“Tetapi pemain-pemain saya sudah bersedia untuk perlawanan ini dengan stadium yang dijangka penuh, kami akan cuba tampilkan permainan terbaik dan keputusan yang positif,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN