‘Makcik reda Allah ambil anak makcik dahulu’

‘Makcik reda Allah ambil anak makcik dahulu’

HASHNAH Ali (kiri) menjirus air mawar ke pusara anaknya, Mohamad Firdaus Yahaya di Tanah Perkuburan Islam Pongsu Seribu, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: “Dia (anak) cakap, mak baliklah dengan kakak dulu. Nanti Firdaus balik 27 hari bulan (Sabtu depan), kita jumpa semua sekali. Apabila makcik ingat balik (kata-kata terakhir itu), makcik rasa sedih sangat. Tapi, makcik reda Allah ambil anak makcik dahulu.”

Memuatkan artikel berkaitan…

Itu luahan Hashnah Ali, 76, ibu kepada akauntan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mohamad Firdaus Yahaya, 31, yang terkorban dalam kemalangan membabitkan tujuh buah kenderaan di Jalan Bukit Dugang, Sepang, Selangor, pagi semalam.

Menurut Hashnah, selaku anak bongsu daripada empat beradik dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, Moha­mad Firdaus sangat rapat de­ngannya sejak kecil.

ALLAHYARHAM MOHAMAD FIRDAUS YAHAYA

“Setiap kali balik (kampung), dia (Mohamad Firdaus) akan salam dan cium makcik berkali-kali. Kadang-kadang dah masuk kereta pun dia akan keluar dan datang peluk cium makcik semula.

“Macam itu juga dia buat (peluk cium) dekat kakak-kakak dia dan anak-anak sedara yang lain. Bagi makcik, dialah anak soleh, anak yang bahagiakan makcik,” katanya.

Wanita itu ditemui seusai pengebumian anak bongsunya itu di Tanah Perkuburan Islam Pongsu Seribu di sini, hari ini.

Kemalangan maut yang berlaku kira-kira pukul 9.10 pagi itu berpunca apabila sebuah lori dipandu seorang lelaki dari arah Putrajaya ke arah Jende­ram, Selangor tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan me­rempuh enam kenderaan lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 40 tahun itu dipercayai terkena serangan jantung sehingga menyebabkan kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Selain Mohamad Firdaus yang ketika itu menunggang motosikal, turut terbunuh dalam kejadian itu ialah seorang lagi penunggang motosikal manakala pemandu lori tersebut pula cedera parah dan masih dirawat di Hospital Putrajaya ketika ini.

Dalam pada itu, kakak sulung kepada Mohamad Firdaus, Hasnawati Yahaya, 41, memberitahu, meskipun adiknya itu kini tinggal di Kuala Lumpur, dia tetap akan mencari waktu untuk pulang sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi menjenguk ibu mereka.

“Dulu, sebelum arwah abah kami (Yahaya) meninggal akibat kanser lebih sembilan tahun lalu, adiklah (Mohamad Firdaus) juga yang jaga abah sampai ke detik-detik terak­hirnya. Dia ajar abah mengucap dan hampir semua benda dia uruskan waktu itu,” ujarnya.

“Dia memang anak yang baik. Apa-apa dia nak buat, dia akan ingat mak dia dulu dan minta izin mak,” katanya yang memaklumkan, Mohamad Firdaus merupakan satu-satunya adik-beradik mereka yang belum mendirikan rumah tangga setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN