Wanita warga asing maut ditikam, polis buru lelaki Myanmar bantu siasatan

Wanita warga asing maut ditikam, polis buru lelaki Myanmar bantu siasatan

SEORANG lelaki warga Myanmar diburu polis susulan kejadian seorang wanita warga asing ditemukan maut ditikam di Flat Taman Indah, Batu Maung, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang wanita warga asing ditemukan maut dipercayai akibat ditikam dengan senjata tajam dalam satu kejadian yang berlaku di tingkat tiga, Flat Taman Indah, Batu Maung, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu, orang awam menemukan mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa seorang wanita disyaki warga asing berumur 30-an berada dalam keadaan terlentang di kaki lima tingkat tiga di flat tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati, badan mangsa terkesan luka tikaman di bahagian leher, dada dan kaki disyaki disebabkan senjata tajam.

“Ketika ini, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya di sini, hari ini.

KAMARUL Rizal Jenal (tengah) ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kamarul Rizal berkata, susulan kejadian itu juga, usaha giat dijalankan untuk mengesan suspek yang dipercayai terlibat iaitu seorang lelaki warga Myanmar, Khin MH Myo, 34.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek ini diminta agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superitenden A. Ganthan di talian 014-9237366 atau 04-8662222,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×