Pemilihan Mohd. Azmawi sebagai calon BN PRK Nenggiri tepat

Pemilihan Mohd. Azmawi sebagai calon BN PRK Nenggiri tepat

AHMAD Jazlan Yaakub (dua kiri) bersama pemimpin UMNO Kelantan semasa mengumumkan Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani (empat kanan) sebagai calon PRK Nenggiri di Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemilihan Ketua Pemuda UMNO negeri Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos ini sebagai keputusan tepat.

Pengerusi BN negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pemilihan itu membuktikan UMNO Kelantan sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada calon muda yang bakal menjadi pewaris kepada parti pada masa hadapan.

“Pemilihan ini dibuat oleh presiden parti (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) selepas meneliti tiga nama yang dihantar oleh pimpinan UMNO Gua Musang. 

“Walaupun keputusan memilih calon adalah hak mutlak presiden, namun beliau (presiden) bersikap kolektif dengan mengambil pandangan diseluruh peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita semasa sidang media memperkenalkan Mohd. Azmawi Fikri sebagai calon BN bagi PRK Nenggiri di Pejabat Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Ahmad Jazlan memberitahu, pihaknya akan bersama-sama dengan Mohd. Azmawi dalam memastikan kemenangan menjadi milik BN pada PRK itu nanti.

Katanya, beliau menjangkakan PRK Nenggiri berlangsung dalam situasi sengit namun BN dan parti komponen Kerajaan Perpaduan serta Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri berjuang habis-habisan.

“Kita juga yakin Mohd. Azmawi Fikri  mampu mengembalikan semula kerusi DUN Nenggiri bulan depan,” ujarnya.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian bekas ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim daripada Bersatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×