SHAH ALAM: Pemeliharaan hutan simpan secara keseluruhan 31.7 peratus di Selangor terus menimbulkan persoalan apabila terdapat projek-projek pembangunan dan perlombongan didedahkan menyebabkan sebahagian kawasannya semakin mengecil.
Malah, taburannya juga didakwa tidak seimbang menyebabkan sebilangan besar kawasan-kawasan pesat di negeri ini berdepan ancaman alam sekitar seperti bencana banjir dan tanah runtuh akibat kekurangan kawasan tadahan air.
Selain itu, kawasan hutan simpan seperti di bandar raya ini, Petaling Jaya dan Puchong didakwa semakin terhakis akibat pelbagai pembangunan termasuk infrastruktur yang dikatakan tidak terancang dengan baik.
Situasi sedemikian menyebabkan kawasan tadahan hujan semakin mengecil sehingga menimbulkan pelbagai ancaman bencana alam termasuk banjir akibat limpahan air yang berlebihan tanpa penyerapan.

Hal tersebut dinyatakan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Damien Thanam Divean yang mendakwa terdapat kawasan-kawasan hutan simpan di negeri ini dalam pemerhatiannya berdepan ancaman kritikal.
“Jumlah 31.7 peratus itu cuma terhad di kawasan-kawasan tertentu dan tidak terdapat di tempat-tempat lain. Apakah kawasan seperti Subang Jaya, Damansara, Puchong dan tempat lain yang pesat dengan pembangunan tidak banjir?
“Paling ketara di Klang dan Shah Alam sendiri termasuk di Persiaran Mokhtar Dahari yang kini kerap berlaku banjir berikutan kawasan-kawasan hutan yang sepatutnya menjadi tempat menyerap curahan hujan atau tadahan air semakin sempit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Diancam pembangunan komersial
Tambahnya, ancaman juga dilihat berterusan berlaku terutama melibatkan pembangunan bersifat komersial termasuklah di Batang Kali, Hulu Selangor; Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat; Hutan Simpan Bukit Lagong, Gombak; Ayer Hitam, Puchong dan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF), Shah Alam.
“Paling teruk dilihat sekarang adalah di Bukit Lagong, apabila melalui Lebuhraya Guthrie atau Lebuhraya Utara Selatan kawasan bukit yang sudah ‘ditarah’ dan gondol begitu jelas kelihatan.
“Apa yang mengecewakan adalah kuari tersebut dalam kawasan hutan simpan dan diberikan lesen oleh kerajaan negeri untuk aktiviti perlombongan bagi penghasilan simen. Sedangkan bila ia sudah dilombong, hutan tidak lagi boleh dipulihara di sana.
“Di Batang Kali pula diketahui terdapat projek pembangunan komersial mega hendak dibuat di sana atas alasan Selangor sepatutnya mendapat manfaat daripada pembangunan pelancongan di Genting Highland sebagaimana Bentong, Pahang.
“Sedangkan kawasan tersebut dinyatakan dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) tidak boleh ada sebarang pembangunan di sana. Insiden tanah runtuh yang berlaku dekat Father’s Organic Farm menyebabkan lebih 30 kematian.
“Sebelum melaksanakan projek di sana kerajaan negeri sepatutnya melihat bencana tanah runtuh, banjir lumpur, banjir kilat dan pelbagai ancaman dalam tempoh dua kebelakang,” jelasnya.
Hutan simpan di Hulu Selangor itu termasuk dalam senarai 26 hutan simpan kekal yang diiktiraf sebagai Hutan Warisan Diraja Selangor oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor 1 (RS1) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini memaklumkan pemeliharaan hutan dan biodiversiti antara elemen dalam teras ketiga RS1 iaitu Pemacuan Kelestarian.

Menurutnya, kerajaan negeri menunjukkan usaha yang baik dalam mengekalkan hutan simpanan kekal (HSK), seiring dengan aspirasinya untuk menjadi negeri rendah karbon.
“Hutan Warisan Diraja Selangor dan Central Forest Spine Selangor yang baru diwartakan mencerminkan komitmen Selangor untuk menjaga liputan HSK yang kini berada pada tahap 31.7%, di samping mewujudkan lebih banyak kawasan rekreasi untuk dinikmati oleh masyarakat.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang aktif menanam pokok dengan tujuan menanam sejuta pokok sebagaimana yang diumumkan di dalam Belanjawan Selangor 2024,” katanya.
Kekecewaan, hipokrit
Bagaimanapun, Damien memaklumkan aktivis alam sekitar turut meluahkan kekecewaan mereka dengan tindakan kerajaan negeri yang disifatkan sebagai hipokrit menerusi penguatkuasaan terhadap penceroboh kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS).
“Sebelum ini kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap penceroboh kawasan HSKLS berkeluasan kira-kira 11 hektar dan sekitar 1,000 pokok kelapa sawit ditebang.
“Namun, mungkin hasilnya tidak dapat dinikmati oleh kerajaan negeri sebelum ini, ia digantikan dengan penanaman jagung bijirin. Sepatutnya kawasan hutan di situ dipulihkan, apa bezanya dengan apa dilakukan oleh penceroboh yang tanam sawit dan kerajaan tanam jagung atas tanah gazet hutan simpan?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh perkembangan SACF yang merupakan sebahagian daripada lembangan hutan di Bukit Cerakah berdepan ancaman kemusnahan kawasan hijau sehingga 80 peratus.
“SACF bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar lain membawa isu bantahan penyahwartaan kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) ke mahkamah yang kini berada di Mahkamah Persekutuan untuk menunggu tarikh bicara.
“Antara alasan penghakiman di peringkat Mahkamah Rayuan menyatakan bantahan sepatutnya dibuat pada 2002 sedangkan penyahwartaan dibuat 20 tahun kemudian secara backdated. Pendengaran awam dibuat, sekadar memenuhi syarat sedangkan yang hadir semuanya membantah,” jelasnya.
Tambah Damien lagi, kawasan SACF yang berbaki kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan HSKBC didakwa menjadi semakin kecil apabila terdapat rancangan pembinaan dua batang jalan merentasi bahagian utara dan selatan kawasan berkenaan.
“Kini kerja-kerja pembersihan hutan sudah dibuat untuk membina jalan merentasi kawasan hutan sepanjang hampir 1 kilometer (km) antara Jalan Pulau Angsa, Puncak Perdana dengan Persiaran Setia Duta, Setia Alam. Kelulusan dipercayai diberikan pada 2019.
“Selain itu, terdapat perancan pembinaan sebatang lagi jalan dekat bahagian utara antara Setia Alam dengan Alam Budiman menyebabkan keseluruhan 80 peratus kawasan hutan di SACF yang menerima kunjungan 10,000 orang setiap minggu diancam nyah hutan,” ujarnya. – UTUSAN










