Warga emas usahakan zoo mini

Warga emas usahakan zoo mini

MOHD. Nasir Abdullah mengusahakan kebun dan zoo haiwan jinak yang diberi nama Atok Farm di Kampung Tanjung, Nilai, Seremban. – UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah kebun dan zoo haiwan jinak (petting zoo) yang dibangunkan oleh seorang warga emas di tepi rumahnya di Kampung Tanjung, Nilai dekat sini, menjadi tarikan baharu kepada penduduk setempat.

Pengusaha Atok Farm, Mohd. Nasir Abdullah, 63, berkata, di situ dia bukan hanya bercucuk tanam malah membela pelbagai haiwan ternakan seperti ayam, arnab, angsa dan burung merpati.

Pada awalnya beliau membangunkan Atok Farm untuk kegunaan sendiri namun lama kelamaan ia dilihat dapat menjana pendapatan, malah secara tidak langsung membuka minda masyarakat mengusahakan sendiri ternakan dan tanaman.

“Apabila bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, kami sekeluarga telah fikirkan sesuatu kerana lazimnya apabila PKP akan makan masa yang lama. Jadi masyarakat setempat akan susah cari makan.

“Bertitik tolak dengan itu, saya mengeluarkan video perkongsian di YouTube atas nama Atok Farm berkenaan tanaman dan haiwan ternakan yang mungkin boleh membantu orang di luar sana menghasilkan makanan sendiri.

“Sejak dari itu tontonan mencecah 13 juta dan langganan 100,000. Tujuannya berkongsi kepada orang ramai supaya dapat menghasilkan makanan sihat sendiri di tepi rumah selain ternakan yang mengan­dungi sumber protein,” katanya

Kata bekas kontraktor itu,  perusahaan dikembangkan lagi dan Atok Farm kini menjual dan membekalkan baka import ayam asli jenis Rhode Island Red RIR setelah menjalankan penyelidikan jenis baka terbaik selama dua tahun.

“Kami memilih baka import ayam asli jenis Rhode Island ini kerana ia merupakan ayam dual purpose, iaitu pembaka kepada pedaging dan penelur hibrid moden di samping kategori premium daripada segi telur dan daging.

“Atok Farm telah menjual lebih 1,000 ekor baka itu dengan harga RM50 di seluruh negara sejak tujuh bulan beroperasi. Setakat ini, ia memberikan pulangan lumayan sekitar RM10,000 pada setiap bulan hasil penjualan baka-baka import ayam asli jenis Rhode Island ini,” katanya lagi. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×