Saya tak pernah henti berfikir – Khairul Aming

Saya tak pernah henti berfikir – Khairul Aming

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU demi satu kejayaan diraihnya sepanjang hampir sedekad bergelar pempengaruh media sosial.

Bermula dengan menghasilkan video-video masakan yang meraih jutaan tontonan, Khairul Aming, 32, atau pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman ini kemudian melebarkan sayap dalam bidang keusahawanan.

Dua produknya, Sambal Nyet dan Dendeng Nyet Berapi yang dikeluarkan sejak 2021 berjaya mencatatkan jualan luar biasa hingga kini.

September lalu, sebanyak 2.4 juta botol sambal itu laris dengan nilai keseluruhan RM33.5 juta manakala dendeng pula terjual lebih RM1 juta dalam tempoh kurang empat minit secara dalam talian.

Terbaharu, anak jati Kelantan ini berkongsi khabar gembira untuk menceburi industri makanan dan minuman (F&B) pula.

Beliau tidak menolak kemungkinan membuka restoran di masa depan bagi mengukuhkan lagi perniagaan, sekali gus keluar dari kepompong selesa.

“Macam-macam benda yang saya rancang dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang antaranya restoran, pertanian dan kelas digital.

“Selain itu, saya mahu memperbanyakkan lagi syarikat atau bisnes di kampung halaman bagi merancakkan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Khairul Aming yang memiliki lebih sembilan juta pengikut media sosial, menarik perhatian apabila memilih negeri kelahiran sebagai lokasi membangunkan perniagaannya.

“Saya tidak pernah sesal membangunkan perniagaan di Kelantan kerana kadar sewa yang menjimatkan, lokasi strategik serta mempunyai banyak tanah kosong.

“Lembah Klang sudah terlalu padat. Saya kira kini masanya untuk usahawan tempatan, membawa atau memindahkan kegiatan perniagaan ke negeri-negeri pula demi manfaat bersama.

“Mungkin ramai mengaitkan Kelantan dengan sektor pertanian sahaja tetapi ia tidak tepat kerana semua kilang pun boleh dibangunkan di sana.

“Saya nampak peluang besar di lokasi itu dan nekad mahu terus kembangkan lagi industri di kampung halaman,” katanya yang memiliki 100 pekerja dalam kalangan anak tempatan.

Dalam perkembangan terkini, ujarnya, pengeluaran Sambal Nyet, ditingkatkan mencecah 10,000 botol sehari berbanding sebelumnya, 7,000 botol.

Hingga kini, jualan sambal itu masih lagi tinggi dan tidak terjejas dengan dendeng.

“Cabaran saya adalah untuk menyusun strategi, bagi memastikan pengeluaran produk ini tidak berlawan sesama sendiri.

“Paling penting, pengeluaran dibuat dalam bilangan yang selesa kerana saya tidak mahu kakitangan stres atau tidak gembira ketika bekerja,” katanya.

Tidak henti berfikir
Melihat setiap hasil kerjanya sama ada daripada segi kandungan video masakan mahupun strategi perniagaan, tidak keterlaluan dikatakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekanikal) Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat (AS) ini memang seorang yang kreatif.

Malah, beliau mengakui otaknya tidak pernah berhenti berfikir, bahkan gemar mengkaji sesuatu perkara secara mendalam.

“Setiap hari saya akan menonton video atau membaca buku sekurang-kurangnya sejam kerana seronok belajar benda-benda baharu.

“Ketika bekerja makan gaji dulu, setiap kali perjalanan balik dalam transit aliran ringan (LRT), saya isi masa dengan tengok pelbagai video termasuk tentang angkasa lepas dan penjagaan muka.

“Walaupun segelintirnya tiada kaitan dengan kerjaya atau minat saya tetapi setiap informasi itu dapat membuka minda, memberi gambaran meluas dan menghubungkan pemikiran saya kepada banyak perkara,” katanya.

Aktiviti itulah membantu menjana ilham dan idea kreatif sepanjang bergelar pencipta kandungan.

Malah, ia masih diteruskan hingga kini kerana sebagai perintis industri, dirinya perlu sentiasa di hadapan bagi dijadikan contoh dan panduan orang ramai.

 

Tiada teman wanita
Menyentuh kisah peribadi, Khairul Aming mengakui tidak tergesa-gesa untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.

Kehidupan solo membolehkannya menumpukan pada kerjaya di samping meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga.

“Sebelum ini, emak pernah tanya tetapi sekarang dia sudah faham apabila tengok kesibukan saya yang perlu menguruskan 100 pekerja di dua kilang.

“Soal jodoh sebenarnya tidak memaksa. Kalau ada rezeki, adalah nanti. Arwah ayah pun berkahwin dengan emak di usia agak lewat iaitu 36 tahun,” katanya sambil mengesahkan belum mempunyai teman istimewa.

Selesa sederhana
Dirinya selesa untuk tidak menunjuk-nunjuk kemewahan di media sosial sebagaimana usahawan lain.

Barangkali, membesar dalam keluarga sederhana membuatkan dirinya sentiasa beringat dan bersyukur dengan setiap rezeki diperolehinya.

“Saya bukan sengaja berlagak merendah diri, tetapi inilah diri sebenar saya yang tidak biasa hidup dalam suasana mewah.

“Sebenarnya takut juga untuk berlebih-lebihan kerana kita tidak tahu sampai bila akan menikmati rezeki ini, jadi sebaiknya saya simpan hal-hal peribadi itu dan tidak dikongsikan,” katanya.

 

‘Usahawan jangan defensif, terima kritikan’
Khairul Aming merupakan antara usahawan yang tidak cepat melatah apabila produknya berdepan kecaman atau kritikan ramai termasuk dalam kalangan pakar perubatan.

Bahkan, beliau sentiasa terbuka untuk menerima setiap maklum balas sama ada positif atau negatif bagi memperbaiki diri dan produk sekali gus menambah baik perniagaan.

“Biasanya saya akan respons pada hari yang sama selepas mengenal pasti kesilapan dan diperbetulkan.

“Tetapi jika isu itu memerlukan bedah siasat mendalam, saya akan maklumkan yang ia masih dalam proses siasatan dan berjanji akan mendedahkan penemuan apabila sudah dapat jawapan,” katanya pada forum bertajuk Mencipta Pengalaman Pembelian Peribadi sempena Persidangan Penjual Shopee 2024 baru-baru ini.

Forum berkenaan turut disertai dua ahli panel lain iaitu pengasas Homedecostore, Edward Wong Kar Jun dan pengasas bersama Adsia Academy, Ira Aziz.

Namun, katanya, tidak semua individu sanggup berdepan situasi itu dan memilih untuk kekal dalam penafian hingga mengeruhkan lagi keadaan.

Sikap defensif boleh ‘membunuh’ usahawan terutama apabila mereka dilihat terlalu mempertahankan diri.

“Fahamilah, setiap isu yang dibangkitkan itu bermaksud ada sesuatu yang tidak kena dengan produk kita dan menjadi tanggungjawab pemilik untuk mengenal pasti kekurangan atau kelemahan tersebut.

“Saya pernah melalui sembilan kali proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) Sambal Nyet selepas mendengar komen-komen pelanggan.

“Jangan lekas putus asa jika masih berdepan kecaman walaupun sudah berkali-kali mencuba yang terbaik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairul Aming menggalakkan golongan sasar untuk aktif dalam penstrim langsung kerana ia terbukti dapat melonjakkan jualan dan pendapatan.

Namun, katanya, Malaysia masih kekurangan bakat-bakat berkualiti bagi ditampilkan di depan kamera.

“Kebanyakan peniaga menggunakan kakitangan termasuk kerani untuk membuat strim langsung sedangkan mereka tiada pengalaman atau kemahiran untuk menjual.

“Nasihat saya, rujuk dan kajilah video-video peniaga di luar negara seperti China bagi memajukan diri masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ira berkata, trend pembelian sudah berubah dan masyarakat tidak lagi cenderung pada barangan mewah atau murah, sebaliknya mahukan pengalaman sebenar.

Sehubungan itu, peniaga disaran untuk memperbanyakkan video-video dan strim langsung bagi menarik pelanggan membeli.

“Kalau mahu berjaya dalam perniagaan di Shopee, pastikan orang ramai beli produk anda walaupun mereka tidak memerlukannya,” katanya.

Sementara itu, Edward berkongsi rahsianya mendapatkan pelanggan baharu dengan cara menambahkan kategori perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×