Penguat kuasa imigresen cedera ditolak PATI, terima beberapa jahitan - Utusan Malaysia

Penguat kuasa imigresen cedera ditolak PATI, terima beberapa jahitan

MOHD. RUSDI Mohd. Darus (dua dari kiri) menyoal pekerja asing yang ditahan dalam Op Mega Pengarah di sebuah pasar raya di Senai, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri ini cedera akibat ditolak seorang pekerja asing ketika ditahan di pusat refleksologi di sebuah pasar raya di Senai, dekat sini.

Dalam insiden itu, warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang urut menolak anggota terbabit dalam usahanya untuk melarikan diri sehingga melanggar cermin kaca menyebabkan dahi anggota penguat kuasa itu cedera dan terpaksa dihantar ke klinik berhampiran serta menerima beberapa jahitan pada bahagian dahi.

Pengarah Imigresen negeri, Datuk Mohd  Rusdi Mohd. Darus berkata, lelaki berasal dari Palembang berusia 37 tahun itu antara 123 pekerja asing termasuk 49 wanita yang ditahan dalam Op Mega Pengarah selama sejam bermula pukul 12.30 tengah hari tadi.

Menurutnya, pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia itu sebelum ini pernah didakwa di mahkamah dan diusir ke negara asalnya tahun lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati warga asing itu yang masih bujang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya ditemui selepas menyertai operasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd. Rusdi berkata, operasi dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam berkaitan kebanjiran warga asing yang bekerja di pasar raya berkenaan dengan seramai 287 orang diperiksa.

Katanya, PATI yang ditahan terdiri daripada 64 warga Indonesia termasuk 35 wanita, 45 warga Myanmar termasuk 12 wanita, tujuh lelaki Bangladesh, masing-masing dua lelaki Nepal dan India, dua wanita Vietnam dan seorang lelaki Pakistan.

Warga asing berusia antara 20 hingga 65 tahun itu didapati tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di negara ini dan tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas yang  ditetapkan.

Kes disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Kesemua PATI tersebut dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×