BEIJING: China dan Filipina menandatangani perjanjian membuka talian komunikasi terus antara pejabat Presiden kedua-dua negara, untuk membantu mencegah sebarang konfrontasi baharu daripada menjadi tidak terkawal di Laut China Selatan.
China dan Filipina mewujudkan talian telefon kecemasan sedemikian di peringkat rendah sebelum ini, untuk menguruskan pertikaian dengan lebih baik terutama di dua beting yang menjadi pertikaian.
Sebelum ini, Filipina menuduh tentera China melakukan tindakan yang meningkatkan permusuhan, manakala China pula mendakwa kapal negara itu menceroboh walaupun diberi amaran berulang kali.
Pertikaian wilayah berterusan sejak tahun lalu, sehingga mencetuskan kebimbangan konflik bersenjata yang lebih besar melibatkan Amerika Syarikat (AS).
AS berulang kali memberi amaran ia bertanggungjawab mempertahankan Filipina, sekutu utama perjanjian Asia, jika tentera negara itu diserang di perairan berkenaan.
Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Jeneral Charles Brown Jr bertemu Ketua Tentera Filipina, Jeneral Romeo Brawner di Manila bagi membincangkan langkah untuk meningkatkan hubungan pertahanan, keupayaan tentera bagi operasi bersama dan memastikan keupayaan serantau, kata tentera.
Semasa konfrontasi antara tentera China dan Filipina di Second Thomas Shoal pada Ogos 2023, kerajaan Manila berkata ia tidak dapat menghubungi pegawai China melalui mekanisme komunikasi maritim yang ditubuhkan untuk beberapa jam.
Talian telefon kecemasan itu diatur selepas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr bertemu Presiden China, Xi Jinping di Beijing pada Januari tahun lepas.
Susulan itu, pegawai dari kedua-dua negara mengadakan perbincangan di Manila pada 2 Julai, berikutan konfrontasi ganas di Second Thomas Shoal yang menyebabkan anggota tentera laut Filipina cedera.
Kedua-dua pihak menyedari keperluan untuk mengukuhkan mekanisme komunikasi maritim dua hala di Laut China Selatan dan menandatangani perjanjian untuk menambah baik komunikasi maritim Filipina-China, kata Jabatan Hal Ehwal Luar dalam satu kenyataan selepas rundingan di Manila, tanpa memberikan butiran perjanjian.
Salinan perjanjian itu, dilihat oleh The Associated Press, berkata ia menyediakan beberapa saluran komunikasi antara Filipina dan China, khususnya mengenai isu maritim melalui wakil yang ditetapkan oleh pemimpin mereka.
Katanya, rundingan menerusi talian juga boleh dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Luar Negara dan Kementerian Luar Negara, termasuk di peringkat menteri luar, timbalan menteri luar atau wakil yang dilantik.
Terdapat juga rancangan untuk menubuhkan saluran komunikasi baharu antara pengawal pantai China dan Filipina, sebaik memorandum persefahaman antara mereka dimuktamadkan, menurut perjanjian itu.










