JOHOR BAHRU: Seorang warga Singapura menolak untuk membuat rayuan, sebaliknya mahu kekal dihukum mati kerana membunuh teman lelaki isterinya yang merupakan seorang warga China di Pahang, pada 2013.
Selain itu, Quah Tee Keon, 56, turut didakwa menikam isterinya sehingga mendatangkan kecederaan yang boleh menyebabkan kematian.
“Saya tak nak minta ampun, saya minta hukum gantung sampai mati sahaja. Terima kasih,” kata Tee Keon semasa prosiding semakan hukuman terhadapnya kepada Mahkamah Persekutuan yang bersidang, di sini hari ini.
Prosiding itu dibarisi panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.
Sehubungan itu, peguam bela pemohon, Bernard George membuat permohonan rasmi kepada mahkamah untuk menarik semula semakan permohonan hukuman mati dihadapi anak guamnya.
Tengku Maimun kemudian memerintahkan supaya hukuman gantung sampai mati kekal dan permohonan semakan dibatalkan.
Tee Keon yang ditahan setelah menyerahkan diri kepada pihak polis di Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2013 sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada mahkamah kerana membenarkan permohonannya.
Berdasarkan fakta kes, Tee Keon didakwa membunuh Ruan Chao Qiang di sebuah kediaman di Taman Mawar Indah, Triang, Bera kira-kira pukul 3.30 pagi pada 13 Oktober 2013.
Tee Keon turut mencederakan isterinya menggunakan pisau sehingga menyebabkan wanita itu mengalami pelbagai kecederaan pada bahagian leher, tangan dan belakang badan di lokasi dan waktu sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Siew Wee. – UTUSAN










