KOTA TINGGI: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin masih belum menerima undangan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menghadiri prosiding melibatkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Justeru, beliau menegaskan bersedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil untuk menghadiri prosiding tersebut yang dijadualkan bulan depan.
“Kalau saya ada terima undangan, Insya-‘Allah saya akan hadir. Setakat ini saya tidak terima apa-apa, saya tiada masalah (untuk hadir),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jiwa Murni Kementerian Pertahanan (PJM Kementah) 2024 Peringkat Negeri Johor di Kampung Bukit Sedili Besar, dekat sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, setakat ini perkembangan LTAT berjalan dengan baik dan sedang membuat keuntungan serta berada pada landasan yang betul.
“Tempoh hari, Pharmaniaga telah umumkan keuntungannya, Insya-‘Allah lain-lain syarikat di bawah LTAT saya percaya berada pada landasan yang betul, tak perlu untuk dijual.
“Menerusi usaha mereka sendiri mampu untuk memastikan syarikat dalam keadaan yang baik, boleh buat untung. Untung itu boleh diumumkan dan ia akan memberi manfaat kepada LTAT dan dengan demikian LTAT terjamin untuk mengumumkan dividen bagi anggota tentera yang memang LTAT sebagai tempat simpanan duit mereka, sebagai tabung simpanan pencen mereka,” katanya.
Semalam, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, akan memanggil Mohamed Khaled menghadiri prosiding LTAT pada Ogos depan.
Menurutnya, selain Mohamed Khaled turut akan dipanggil bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raha Mohamed Noor; bekas Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman dan bekas Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar.
Prosiding LTAT dijadualkan disambung pada 7 Ogos ini selepas yang pertama diadakan pada 20 Jun lalu.
Pada Mac lalu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan LTAT tidak membuat penjelasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM812 juta membabitkan Boustead Holdings Berhad berjumlah RM768 juta dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM44 juta. – UTUSAN











