GEORGE TOWN : Tidak berpuas hati dengan pertambahan populasi anjing liar disyaki antara punca utama 27 ekor haiwan itu mati dipercayai akibat diracun di sekitar kawasan sebuah pangsapuri di Tanjung Bunga, di sini.
Ketua Bahagian Regulatori Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr. Tishrin Muhamad Ismail berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian berkenaan pada 10 dan 14 Julai lalu, manakala kejadian kematian haiwan itu pula dipercayai berlaku antara 4 hingga 6 Julai.
”Bangkai haiwan-haiwan tersebut bagaimanapun tidak dapat ditemukan oleh JPV kerana kesemuanya telah ditanam di merata-rata tempat dan ada seekor anjing telah dibakar kerana pemiliknya ingin menyimpan abu haiwan berkenaan.
”Ketiadaan bangkai haiwan berkenaan menyukarkan pihak kami untuk membuat pengesahan sama ada haiwan itu mati akibat diracun. Siasatan masih dijalankan, namun, kita percaya kemungkinan besar anjing-anjing ini mati akibat termakan racun.
“Motif utama kejadian dipercayai ada individu yang tidak berpuas hati dengan jumlah anjing liar yang meningkat di kawasan ini,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’Ng Mooi Lye.

Terdahulu, sebuah portal berbahasa Inggeris melaporkan, seekor anjing jenis Husky serta lebih 20 ekor anjing liar yang lain mati dipercayai akibat diracun di kawasan Tanjung Bungah.
Menurut Tishrin, pihak JPV tidak menjumpai bukti sama ada racun diletakkan di dalam makanan atau minuman haiwan dan semakan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) serta temubual dengan penduduk setempat juga tidak menemui sebarang keraguan.
”Selain itu, aduan yang lewat diterima juga membuatkan pihak JPV sukar menemui bukti berkaitan, Jadi, kami harap agar mana-mana pihak yang mempunyai bukti supaya tampil segera agar pelaku boleh didakwa di mahkamah.
”Kejadian anjing mati di kawasan ini adalah kali kedua berlaku. Pada tahun lalu, empat ekor anjing dijumpai mati dibungkus di dalam plastik,” katanya.
Dalam pada itu, Mooi Lye memberitahu, kerajaan negeri memandang serius kejadian berkenaan dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menzalimi haiwan.
”Mereka yang didapati melakukan kezaliman terhadap haiwan boleh didakwa mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) yang memperuntukan hukuman denda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun kepada pelaku.
”Kita telah arahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) supaya menjalankan rondaan dengan lebih kerap di kawasan terlibat dan kita juga akan menambah CCTV supaya boleh membuat pemantauan,” katanya.-UTUSAN











