KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyediakan 100 saintis bioteknologi ke 100 sekolah bagi meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Perdana Menteri berkata, ini kerana negara sedang menghadapi masalah ketika ini berikutan minat anak-anak sekolah terhadap bidang tersebut agak menurun.
Justeru, katanya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) perlu menjalankan kerjasama lebih erat dengan Kementerian Pendidikan bagi mengadakan program meningkatkan minat anak muda lebih daripada sebelum ini.
Selain, itu katanya, syarikat swasta turut turut diharap dapat membantu untuk terlibat dalam usaha tersebut.
“Itu akan dapat melonjakkan minat pelajar kepada STEM. Kita dapat guna maklumat dari bidang itu dan sampaikan ke peringkat bawah.
“Jangan pandang ringan bab ini kerana kita dapat maklumat, sekolah, terutamanya di pinggir bandar dan kawasan luar bandar itu jauh ketinggalan.
“Luangkan sebulan sekali, dua jam begitu, turun ke sekolah dan berikan sedikit pencerahan,” katanya.
Justeru, Anwar berkata, Lih Kang diminta untuk menyenaraikan 100 saintis dalam tempoh dua minggu bagi menjayakan agenda tersebut.
Pada masa sama, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta untuk pelaksanaan Program Pemecut Berasaskan Bio (BBA) bagi membantu industri menjadi lebih inovatif dan celik teknologi.
Terdahulu, Anwar merasmikan persidangan dan pameran National Bioeconomy Showcase 2024 (NBio Showcase) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Bioeconomy Corporation sebagai penganjur utama.
Persidangan dan pameran NBiOSHOWCASE 2024 yang bertemakan ‘Bioekonomi untuk Semua’ merupakan platform untuk mencapai objektif Dasar Bioteknologi Negara 2.0 bagi memajukan sektor bioteknologi dan berasaskan bio sebagai pemacu utama ekonomi negara ke arah mewujudkan masyarakat bio-inovasi menjelang 2030.
NBiOSHOWCASE 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini melibatkan hampir 140 reruai dengan lebih daripada 110 pempamer dan dijangka dihadiri 4,000 orang pelawat.
Lebih daripada 50 program dan aktiviti dijalankan di acara itu termasuk forum khas dan sesi perkongsian oleh pakar-pakar industri, pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU), serta usaha kelestarian melalui Tanggungjawab Sosial Korporat, serta kuiz dan permainan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, negara tidak boleh menggunakan kaedah pendekatan dan prosedur operasi standard (SOP) ketika ini untuk mencapai satu pencapaian baharu.
Sebaliknya, beliau berkata, mesti mengambil langkah dengan tahap lebih segera untuk meningkat keadaan yang lebih baik.
“Seluruh prasaran dan kekuatan ada di negara kita, kita tidak ada sebab kita tidak mencapai dengna syarat kita boleh tanam minat serta kesedaran ini dan kita meninggalkan keadah lama supaya petani, nelayan, peladang dan semua bidang dapat manfaat bioteknologi dalam mengembangkan bioekoomi yng baharu di negara ktia,” katanya.










