KUCHING: Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Muhd Nor, meminta Sarawak untuk menanggung sebahagian kos bagi penghantaran kontinjen negeri itu ke Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 hanyalah gurauan semata-mata, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perkara itu dimaklumkan oleh Sanusi sendiri kepadanya dalam pertemuan mereka baru-baru ini.
“Beliau (Sanusi) hanyalah bergurau. Malah, kita tahu beliau suka bergurau.
“Beliau sendiri pun ada memaklumkan kepada saya yang beliau hanyalah bergurau saja, tiada masalah antara Sarawak dan Kedah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA XXI Sarawak 2024 di sini, semalam.
Dalam pada masa yang sama Abdul Karim berkata Sanusi telah memaklumkan kepadanya bahawa Kedah akan menghantar lebih 500 atlet.
Baru-baru ini, Sanusi berharap Sarawak menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen negeri itu bagi meringankan beban ditanggung, termasuk tiket perjalanan dan membawa peralatan.
Kenyataannya itu menarik perhatian banyak pihak, termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dengan menegaskan setiap negeri yang bertanding tidak sepatutnya menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk meminta supaya penganjur menanggung sebahagian perbelanjaan.
“Bagi saya, alasan meminta penganjur menanggung sebahagian perbelanjaan adalah tidak adil kerana Sarawak dan Sabah umpamanya turut berdepan perkara sama,” tegas Hannah Yeoh.
Justeru itu, beliau berkata tidak banyak peruntukan untuk menghantar kontinjen ke Sarawak, dan ia adalah perbelanjaan yang wajar untuk negeri.










