BALIK PULAU : Seorang duda anak dua didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan berasingan termasuk menghalang tugas polis serta memandu van secara melulu dan merbahaya, pada 10 Julai lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Firdaus Farok, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan kedua dan ketiga dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Terdahulu, Firdaus yang juga merupakan bekas pemandu van itu mengaku bersalah atas pertuduhan pertama iaitu memberikan diri sendiri dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, pada 10 Julai lalu, kira-kira pukul 4 petang. Pendakwaan terhadapnya pula dibuat mengikut Seksyen Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sementara itu, mengikut pertuduhan kedua iaitu kesalahan menghalang tugas penjawat awam, tertuduh didakwa telah didapati dengan sengaja menghalang seorang anggota polis berpangkat konstabel menjalankan tugas awamnya dengan tidak memberikan kerjasama semasa diperiksa apabila memecut laju kenderaan ke hadapan Golden Triangle Dua di Jalan Datuk Ismail Hashim.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan kira-kira pukul 8.05 pagi, 10 Julai lalu di lampu isyarat, di Persiaran Relau, di sini.
Justeru, pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga pula iaitu melibatkan kesalahan memandu van secara melulu, Firdaus sebagai pemandu motovan didakwa telah memandu kenderaan tersebut secara melulu dan mendatangkan bahaya kepada orang ramai apabila jalan yang digunakan itu tidak sesuai serta banyak lalu lintas.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan pada 10 Julai lalu, kira-kira pukul 7.45 pagi, di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, susur ke bulatan Jalan Baru, di sini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, P.Lushani menawarkan jaminan berjumlah RM4,000 bagi pertuduhan pertama, RM8,000 bagi pertuduhan kedua manakala RM10,000 ditawarkan bagi pertuduhan ketiga dengan seorang penjamin.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Hamizah Hassan Ghani bagaimanapun memohon mahkamah untuk mengurangkan wang jaminan memandangkan Firdaus kini tidak lagi bekerja.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM11,200 dengan seorang penjamin untuk ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes.-UTUSAN










