ALOR SETAR: Dua lelaki termasuk seorang warga emas ditahan kerana disyaki terlibat dengan pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM148,000 di Taman Lam Foong, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya turut merampas dua pucuk pistol berserta 48 butir peluru daripada salah seorang mereka.
Katanya, polis terlebih dulu menahan seorang lelaki berusia 52 tahun kira-kira pukul 6.30 petang, sebelum menyerbu sebuah rumah dan menahan warga emas lelaki berusia 65 tahun.
“Pemeriksaan di rumah itu menemukan tiga jenis dadah iaitu 62 peket plastik berisi ketamin seberat 1.3 kilogram (kg), 40 pembalut aluminium berisi pil eramin 5 seberat 113 gram dan 76 peket plastik berisi ekstasi seberat 989 gram,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Fisol berata, sebuah kereta jenis Audi A4 dan sebuah televisyen yang dipercayai diperolehi daripada kegiatan mengedar dadah turut disita.
“Ujian urin mendapati suspek pertama yang memiliki tujuh rekod lampau termasuk berkaitan dadah dan jenayah positif methamphetamine manakala suspek kedua yang tidak memiliki rekod jenayah negatif dadah,” katanya.
Ditanya sama ada kedua-dua lelaki itu memainkan peranan dalam kumpulan jenayah tertentu, Fisol berkata siasatan masih dijalankan mengenainya.
“Dalam masa sama, kami juga sedang menyiasat mengenai pasaran dadah yang dirampas. Biasanya dadah jenis ketamin digunakan di pusat-pusat hiburan.
“Namun kami juga menyiasat kemungkinan dadah ini digunakan dalam parti yang diadakan secara tertutup,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 21 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN











