GOPENG: Pengusaha chalet di Sungai Jahang di sini, Dimal Hotel Resort meraikan pengunjung dan orang ramai dengan tawaran harga hanya RM25 untuk makan sampai puas buah durian, kelmarin.
Penganjur program, Rozi Maulut, 46, berkata, sambil menikmati durian, pengnjung juga boleh manda-mandi bersama keluarga di sungai berhampiran.
Menurutnya, tawaran tersebut hanya berlangsung kelmarin dan menarik ratusan pengunjung dan penggemar raja buah itu.
“Inisiatif makan durian sampai puas dengan hanya membayar RM25 ini membawa objektif merapatkan hubungan ahli keluarga pengunjung yang datang ke sini.
“Kami ingin berkongsi rezeki dengan pengunjung dengan menawarkan pelbagai gred dan jenis durian,” katanya.
Sambutan pengunjung terhadap program julung kali dianjurkan itu sangat memberangsangkan termasuk dari luar daerah dan semuanya berpuas hati dengan tawaran menikmati durian pada harga berpatutan.
Sementara itu, pengujung dari Bercham, Ipoh, Fatimah Mohamed Zambry, 55, berkata, dia datang bersama ahli keluarganya untuk makan durian.
Katanya, untuk memastikan mereka tidak terlepas menyertai pakej berkenaan, mereka membuat tempahan awal.
“Keluarga kami memang ‘hantu durian.’ Jadi, rasa berbaloi datang makan di sini dengan harga serendah RM25.
“Suasana di sini pun tenang, boleh bergambar dan hirup udara segar selain keindahan air terjun,” katanya. – UTUSAN











