KUALA LUMPUR: Pelaksanaan e-Invois pada 1 Ogos ini dijangka tidak memberi kesan kepada industri automotif atau jualan kereta, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, kebimbangan mungkin wujud bagi syarikat-syarikat kecil disebabkan keperluan sistem yang untuk tujuan pematuhan.
“Pada pendapat saya, saya telah berbincang pagi ini dengan Marii (Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia), kami merasakan bahawa e-Invois ini tidak akan memberi kesan kepada industri automotif.
“Kebimbangan utama mungkin adalah untuk syarikat-syarikat kecil kerana e-Invois melibatkan sistem yang mereka perlu ada,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran HALAL Accreditation & Technology Improvement (HATI) di sini, semalam.
Beliau berkata sistem e-Invois akan menjadi mandatori mulai 1 Ogos, berdasarkan garis panduan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Kewangan.
“Ini hanya untuk syarikat yang mempunyai hasil atau pendapatan lebih daripada RM100 juta. Oleh itu, pengedar kereta yang syarikatnya tidak sebesar itu sepatutnya tidak terjejas. Secara teori, sepatutnya tiada kesan.
“Bagaimanapun, kerisauan mereka adalah kepada isu potensi bagi mereka yang mengambil pinjaman 100 peratus.
“Dengan e-invois yang menjadikan transaksi lebih telus, mereka mungkin tidak dapat melakukannya lagi,” katanya.
Sebelum ini, LHDN menjelaskan, pelaksanaan e-Invois bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah mulai 1 Julai 2025 dan bukannya pada 1 Ogos depan.
LHDN dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan fasa pertama e-Invois pada 1 Ogos 2024 hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 100 juta.
Justeru, katanya, tiada keperluan pada masa ini untuk syarikat dalam fasa pertama mendapatkan e-Invois daripada PMKS bagi tujuan tuntutan perbelanjaan.-UTUSAN










