PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpendapat, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkemungkinan boleh mempertimbangkan pelaksanaan dan pemakaian Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam (UA) 2024 kepada anak-anak syarikat di bawah seliaan kementerian terbabit.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini kerana pembangunan dan penguatkuasaan garis panduan tersebut untuk diguna pakai oleh semua UA dilihat baik.
“Pembangunan dan penguatkuasaan Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam 2024 oleh KPT untuk diguna pakai oleh semua universiti awam dilihat adalah baik.
“PAC berpendapat KPT berkemungkinan boleh mempertimbangkan pelaksanaan dan pemakaian garis panduan tersebut kepada anak-anak syarikat di bawah seliaan KPT,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Mas Ermieyati berkata, pihaknya hari ini membentangkan Laporan PAC Parlimen Terhadap Tindakan Susulan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bagi Syor-syor Laporan PAC Berhubung UiTM Holdings Sdn. Bhd.
Menurutnya, laporan itu bagi memaklumkan tindakan susulan yang diambil KPT, UiTM dan UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) terhadap syor-syor dalam Laporan PAC berkaitan UHSB yang telah dibentangkan di Parlimen pada 18 Mac lepas.
“PAC mengambil maklum usaha yang diambil KPT, UiTM dan UHSB bagi memastikan pengurusan aktiviti UiTM Holdings diuruskan dengan teratur, cekap dan berkesan serta mengikut amalan tadbir urus korporat yang baik.
“Lanjutan daripada syor-syor PAC mengenai isu dalam memastikan sistem kawal selia yang lebih efektif ke atas UHSB dan syarikat subsidiari supaya lebih menjana keuntungan serta mampu membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan. Jawatankuasa ini telah dimaklumkan dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh KPT dan UiTM.
“Dalam hal ini, PAC mengambil maklum dengan tindakan penambahbaikan yang diambil oleh KPT dan UiTM dalam memastikan kawal selia anak syarikat agar mampu menjanakan keuntungan dan mencapai matlamat penubuhan,” katanya.
Tambah beliau, UHSB juga telah membentangkan Hala Tuju: 10-Year Stratergic Roadmap kepada PAC dan berpandangan pelan hala tuju yang disediakan adalah terlalu optimistik.
Selain itu, katanya, UHSB perlu mengambil kira cabaran sebenar di lapangan supaya ia lebih realistik.
“Dalam usaha bagi memastikan pematuhan kepada kuasa melulus dalam membuat pelaburan, pembiayaan dan penubuhan syarikat subsidiari selaras dengan peruntukan Akta 173, KPT telah menyediakan Proses Permohonan Pelaburan dan Pinjaman di Peringkat UiTM dan KPT.
“PAC berpandangan Manual Operasi Standard (SOP) yang telah disediakan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh KPT dan UiTM dan dalam masa yang sama ia tidak terikat dengan kerenah birokrasi.
“Orang ramai boleh membaca setiap tindakan susulan KPT, UiTM dan UHSB serta ulasan PAC dengan melayari laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac,” katanya. – UTUSAN











