SEREMBAN: Sebanyak 2,549 kilogram barang kawalan dirampas Pasukan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan dalam Op Tenera yang dilakukan di sebuah sebuah stor barangan tidak bernama di Jalan Senawang Perdana, Senawang di sini semalam.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, barangan kawalan dan barangan kawalan bersubsidi yang dirampas dalam operasi pukul 11.30 pagi itu melibatkan nilai dianggarkan sebanyak RM6,556.90
Kata beliau, di dalam serbuan tersebut, sebanyak 264 kilogram (kg) gula putih kasar, 24 kg gula putih premium, 2,121 kg minyak masak dan 140 kg tepung gandum serta invois belian barang kawalan telah disita untuk siasatan lanjut.
“Serbuan melibatkan lima orang anggota itu dibuat hasil daripada risikan, telah berjaya mengesan stor simpanan barangan kawalan di premis tanpa nama di Jalan Senawang Perdana.
“Anggota serbuan telah menahan seorang wanita warga tempatan berusia 47 tahun yang telah mengaku sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas premis.
“Dia juga disyaki telah berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia dan menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan selain dari premis yang dilesenkan oleh Pengawal Bekalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhammad Zahir menjelaskan, pihaknya sentiasa komited dan akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan.-UTUSAN.











