SERDANG: Kerajaan memperuntukkan RM131.7 juta khusus untuk warga peneroka Felda.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk menampung kos pengoperasian ladang susulan penyasaran subsidi diesel.
Perdana Menteri berkata, sebanyak RM31.7 juta lagi diluluskan untukk 317 tanah rancangan Felda bagi Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani).
“Langkah ini diambil bagi memastikan pendapatan peneroka Felda tidak sama sekali terkesan,” katanya.
Dalam ucapan semasa merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2024 peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di sini, semalam, Anwar berkata, kerajaan menyediakan bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan termasuk pekebun kecil.
“Sebab itulah, dengan mengambil kira implikasi kewangan tambahan Felda sebanyak RM121.6 juta setahun akibat kenaikan harga diesel, kerajaan akan menyediakan peruntukan subsidi tambahan sekitar RM100 juta kepada Felda untuk tujuan yang saya sebutkan,” katanya.
Bagi Program SejaTi Madani, katanya, bantuan berkenaan diyakini dapat memberi impak positif kepada komuniti Felda.
“Penglibatan Felda dalam SejaTi Madani merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti.
“Oleh itu, komuniti diberi kebebasan bermusyawarah untuk memutuskan sektor tumpuan seperti pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri mengingatkan Felda supaya pengurusan atau sesiapa terkait dengan agensi rancangan tanah kerajaan itu tidak terjebak dengan salah laku dan rasuah.
Anwar menegaskan, beliau tidak teragak-agak mengarahkan agensi penguatkuasa undang-undang seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Felda.
Beliau juga mahu Ketua Audit Negara mengambil tindakan sama terhadap Felda jika pengurusan agensi milik kerajaan itu terlibat salah laku wang rakyat.
“Sebab itu dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), saya kata Ketua Audit Negara, SPRM jalankan kerja. Jangan kira siapa termasuk ke atas Felda (sekali pun).
“Kita lakukan ini sebab nak selamatkan rakyat dan negara ini,” katanya.
Anwar berharap, pengurusan yang bukan mewakili lembaga pengarah dilantik dalam kalangan mereka yang cekap untuk menguruskan hal ehwal dana, contohnya dalam koperasi Felda.
Beliau menegaskan tidak mahu tender berkait Felda diurus atau diberi kepada anak, menantu atau kroni.
Beliau mengakui ada pihak tidak berpuas hati, malah berang dengan tindakannya kerana tidak bertolak ansur dengan perbuatan salah laku, namun ia bukan penghalang kepada Kabinet untuk membersihkan penyelewengan.
“Ini tanggungjawab kita. Kadang-kadang operasi koperasi itu penting sebab kadang-kadang lembaga pengarah pilih orang tidak tahu dalam pengurusan dana sehingga tidak diuruskan secara cekap.
“Kalau tentang semua tender kerajaan termasuk Felda, FGV dan koperasi, biar betul-betul telus supaya jangan ada usaha menyakau wang rakyat,” katanya. – UTUSAN










