TUMPAT: Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus membantu mengukuhkan ringgit sekali gus meletakkan mata wang negara itu di kedudukan pertama antara negara serantau.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan itu sangat baik untuk sistem kewangan menerusi dasar akomodatif yang membantu menggerakkan perkembangan perniagaan.
“Seperti mana yang kita lihat, ringgit pada Jumaat lalu berada sekitar 4.68 berbanding dollar Amerika, dan sudah semakin konsisten di bawah paras 4.70. Alhamdulillah, dalam enam bulan kebelakangan ini, kita dapat melihat prestasi ringgit yang bertambah baik.
“Strategi bersepadu Kerajaan Madani di antara Kementerian Kewangan dan BNM telah memperlihatkan prestasi ringgit semakin mengukuh. Sehingga 11 Julai, kita dapat melihat ringgit berada di kedudukan pertama antara negara serantau dengan peningkatan sekitar dua peratus,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini, semalam.
Amir Hamzah memberitahu, antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan termasuk galakan pendapatan langsung asing oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dibawa balik ke negara ini.
Katanya, situasi itu membantu meningkatkan interaksi dengan pengeksport untuk menukar hasil mereka kepada ringgit.
“Pada masa mereka turut memantau penukaran hasil eksport dan import, memperkukuhkan ekonomi tempatan dan meneruskan reformasi fiskal yang dijanjikan.
“Dengan usaha bersepadu ini, dan pengurusan fiskal yang efisien dan berdisiplin, saya yakin dan percaya prestasi mata wang pada separuh kedua 2024 akan bertambah baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan mampu menyelamatkan RM1.5 bilion wang negara dalam tempoh enam bulan tahun ini daripada aktiviti penyelewengan dan penyeludupan menerusi langkah penyasaran subsidi diesel yang bermula 10 Jun lalu.
Kata beliau, andaian itu berpandukan kepada putara jualan diesel di Semenanjung Malaysia turun sebanyak 22.2 juta liter sehari.
Menurutnya, sebelum penyasaran subsidi itu diperkenalkan, jualan diesel di stesen-stesen minyak Semenanjung berjumlah 28.6 juta liter sehari.
“Ini bermakna jualan diesel turun kepada 6.5 juta liter sehari bersamaan 23 peratus. Mengambil kira tiada faktor untuk mendorong pengurangan kegunaan diesel kenderaan di Semenanjung antara Jun dan Julai, kerajaan dapat simpulkan bahawa
sebelum penyasaran subsidi diesel, sekurang-kurang 6.5 juta liter sehari telah diseleweng sama ada oleh industri atau diseludup ke negara jiran.
“Daripada jumlah itu, kerajaan anggarkan jumlah ketirisan yang dapat dielakkan berjumlah RM250 juta sebulan,” katanya. – UTUSAN











