Miliki koleksi 211 sundang, tertua dari abad ke-15

Miliki koleksi 211 sundang, tertua dari abad ke-15

MOHAMAD Sobri Mat Daud (tiga dari kanan) memegang replika bilah sundang manakala Muhamad Abdullah (tiga dari kiri) memegang sarung Sundang pada Program Semarak @Muzium Perak di Taiping semalam. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Minat terhadap senjata tradisional masyarakat Melayu mendorong Muhammad Abdullah mengumpul pedang atau keris panjang iaitu sundang dan diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pemilik sundang paling banyak di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Muhammad mengakui me­mi­nati sundang kerana senjata itu merupakan satu-satunya pedang yang memiliki identiti Melayu dan banyak digunakan oleh orang Melayu dan suku-sukunya sejak zaman dahulu sama ada di istana sebagai alat kebesaran diraja, pahlawan atau orang biasa.

Menurutnya, kebanyakan pe­dang orang Melayu yang lain berkongsi teknologi dengan bangsa lain kecuali sundang yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana negara.

“Kebanyakan senjata sundang dihasilkan di Nusantara termasuk di Semenanjung Ta­nah Melayu dan ia merupakan senjata tradisional masyarakat Melayu yang mencerminkan ke­arifan masyarakat tempatan,” katanya ditemui pada perasmian Semarak @Muzium Perak sempena Pameran Sundang: Seni Dan Kuasa di sini, semalam.

Program dirasmikan Timba­lan Ketua Setiausaha Kemente­rian Perpaduan Negara, Moha­mad Sobri Mat Daud dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kama­rul Baharin A Kassim.

Menurut Muhammad, koleksi sundang miliknya dipamerkan di Muzium Perak di sini selama enam bulan dan pameran telah dibuka kepada orang ramai bermula 24 Jun lalu hingga hujung tahun ini.

Beliau yang juga pengasas Yayasan Al-Amin berkata, ko­leksi sundang paling lama dipamerkan dianggarkan dihasilkan pada hujung kurun ke-15.

“Saya anggap sundang sebagai berharga kerana senjata ini digunakan pahlawan-pahlawan dalam mempertahankan tanah air,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Ba­ha­rin berkata, Jabatan Muzium melalui Muzium Perak me­ngambil inisiatif menjalankan penyelidikan dan jalinan kerjasama strategik dengan Ya­ya­san Al-Amin bagi merealisasikan Pameran Sundang: Seni Dan Kuasa yang julung kali diadakan di negara ini.

Menurutnya, kesemua 211 bilah sundang yang dipamerkan di galeri utama Muzium Perak di sini adalah milik Muhammad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN