Ketika Cik Bunga dapat tahu mengenai berita ini, terkejut juga. Tapi lebih kepada kasihan kepadanya.
Bukan apa, hasrat kumpulan Defam yang dianggotai oleh Azira, Manggis dan Sophia untuk menyertai sebuah pertandingan realiti di kaca televisyen baru-baru ini, cuma untuk bertanding secara sihat.
Namun, tidak sangka pula diuji dengan peristiwa pahit yang menyebabkan ketiga-tiga mereka jatuh sakit. Apa yang Cik Bunga maksudkan adalah terkena buatan sihir. Antara ketiga-tiga mereka, tidak silap Cik Bunga, Azira yang paling teruk terkena.
Perkara ini, sehingga ke hari ini tidak direspons oleh Azira apabila ditanya rakan media. Namun, bak kata orang, siapa yang tahu, tahulah. Cerita-cerita belakang tabir bukan?
Ada yang sampaikan cerita kepada kita, ketika kru produksi kemas-kemas belakang pentas, ada yang terjumpa anak patung voodoo yang rupa parasnya seakan menyamai imej Azira.
Kononnya, pada patung tersebut, ada paku yang sengaja dicucuk di kepalanya.
Ada yang kata, kebetulan, kerana itu jugalah Azira kononnya kerap sakit kepala sampai tak boleh nak buat persembahan di pertandingan tersebut.
Entahlah, ini apa yang diceritakan kepada Cik Bungalah. Tak tahulah apa sebenarnya yang berlaku. Persoalannya, kalau betul, siapa pula nak sihir Azira itu? Tak baiklah begitu ya.










