UMNO sedang sakit, tak mampu bergerak solo - Utusan Malaysia

UMNO sedang sakit, tak mampu bergerak solo

MOHAMED Khaled Nordin berucap pada Mesyuarat UMNO Bahagian Parit di Seri Iskandar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Ahli UMNO diminta menilai keadaan parti itu terlebih dahulu sebelum meletak hasrat untuk bergerak secara bersendirian dalam pilihan raya akan datang.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertimbangan itu perlu dibuat berdasarkan keadaan UMNO kini yang ‘sedang sakit’ dengan kemorosotan prestasi dalam pilihan raya serta bukan lagi parti dominan.

Beliau malah menjelaskan, keberadaan UMNO dalam kerajaan Perpaduan bersama DAP serta PKR dibuat sebagai langkah strategik untuk memulihkan parti dan bukan bererti menggadaikan prinsip perjuangan selama ini.

Jelasnya lagi, UMNO juga selama ini berjuang bersama banyak parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam meraih sokongan keseluruhan rakyat daripada pelbagai kaum.

“UMNO sedang sakit dan sedang dirawat. Satu perkara yang sangat penting yang boleh bantu kita yang menjadi sebahagian daripada ubat kita, ialah mesti ada kuasa (politik).

“Kalau tidak lakukan itu masa sudah tentu di Perak pun UMNO tidak menjadi Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Parit di sini hari ini.

Semalam dilaporkan UMNO Bahagian Tenggara mengusulkan agar pucuk pimpinan mengkaji kembali hubungan dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan kini kerana dilihat penting demi kelangsungan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

Dilaporkan juga, Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak terikat dengan mana-mana gabungan politik bagi berdepan PRU-16.

Hal itu dilihat bertentangan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyatakan BN akan meneruskan kerjasama dengan PH dalam PRU-16.

Sementara itu ketika ditanya tentang perkembangan tersebut, Mohamed Khaled berkata, beliau tidak mahu memberi sebarang kenyataan tambahan dan menyerahkan perkara untuk dibincangkan dalam peringkat tertinggi parti.

Ditanya lagi sama ada berlaku perselisihan antara pemimpin tertinggi UMNO, beliau menjawab, hal itu menunjukkan bahawa UMNO tidak menyekat ahli-ahlinya memberikan pandangan secara terbuka. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×