Kon Yeow dakwa tak terima maklumat senarai penerima pingat 'bocor'

Kon Yeow dakwa tak terima maklumat senarai penerima pingat ‘bocor’

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjelaskan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai senarai nama penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang yang didakwa telah ‘bocor’ kepada orang awam.

Beliau berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai perkara berkenaan apabila ditanya mengenainya hari ini.

“Saya tidak tahu tentang perkara ini (senarai penerima pingat bocor). Ini satu berita (baharu) buat saya. Saya tidak terima apa-apa maklumat setakat ini.

“Tentang kebocoran senarai nama penerima pingat, memang saya tidak tahu langsung,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku ‘Musings In George Town’ di sini pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai khabar angin yang mendakwa senarai Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena sambutan ulang tahun ke-75 Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah tersebar di aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, senarai nama tersebut tidak sepatutnya tersebar lebih awal berikutan majlis sambutan terbabit hanya akan bermula pada hujung bulan ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat beberapa individu yang telah mendapat darjah kebesaran dalam tempoh kurang tiga tahun lalu turut tersenarai dalam senarai penerima bagi tahun ini pula, Kon Yeow berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan negeri mempunyai satu sistem khas untuk menapis nama penerima pingat.

“Kerajaan negeri mempunyai satu sistem yang akan menyekat nama yang telah dikurniakan darjah kebesaran dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Jadi, jika individu itu telah menerima pingat pada tahun lalu atau dua tahun lalu, namanya akan ‘ditolak’ oleh sistem sebagai penerima bagi tahun ini,” katanya.

Selain itu, Kon Yeow memberitahu, sistem yang sama juga akan menyekat nama yang mempunyai sebarang isu dengan insolvensi atau terlibat dengan kes polis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×