GEORGE TOWN : Setiap parti yang bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan berhak untuk menentukan sebarang bentuk kerjasama dengan sesiapa pun dengan persetujuan parti yang terlibat.
Naib Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow berkata, persefahaman parti-parti dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan itu dicapai setelah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.
“Itulah persetujuan yang dicapai sebab kalau tanya mana-mana parti pun, mereka akan menjawab bahawa kerjasama ini dikhususkan dengan tujuan membentuk kerajaan.
“Selain daripada itu, terpulang kepada setiap parti memikirkan kerjasama dalam apa bentuk dengan sesiapa pun. Perkara itu dibincang dan diputuskan (oleh) setiap parti,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Buku ‘Musings In George Town’ di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday yang menyatakan bahawa kerjasama UMNO dengan DAP pada dasarnya tidak banyak memberikan manfaat kepada UMNO serta BN.
Malah kata pemimpin tersebut, hubungan berkenaan dilihat merugikan UMNO yang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.
Pandangan sama turut disuarakan oleh Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba yang melihat hubungan tersebut penting untuk dilihat semula untuk kelangsungan politik UMNO terutama untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
UMNO Bahagian Tenggara sebelum itu turut mengusulkan agar pucuk pimpinan mengkaji kembali hubungan dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, setiap parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu melihat bagaimana untuk mereka memberi nilai tambah kepada kerjasama tersebut.
“Kalau merasakan mereka tidak dapat tambah nilai, mungkin dari segi psikologinya lebih baik tidak ada kerjasama. Tetapi, seperti apa yang dibincangkan, sebarang perkara yang negatif ada positifnya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sama ada DAP akan membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan, Kon Yeow berkata, sebarang keputusan mengenainya akan dibuat oleh DAP Pusat.
“Ia balik 9bergantung) kepada pusat (DAP) untuk menentukan macam mana, belum ada arahan pusat,” katanya.-UTUSAN










