SEREMBAN: Skuad sepak takraw Negeri Sembilan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya meraih satu pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21 di Sarawak, bulan hadapan.
Ketua jurulatih, Mohd. Syazwan Salehan berkata, beliau yakin anak didiknya tidak pulang dengan tangan kosong pada temasya itu menerusi empat acara yang akan ditandingi.
“Pada edisi Sukma kali ini, kami menyertai empat acara iaitu berpasukan, kuadran, double dan regu. Kami sasar satu pingat sekurang-kurangnya gangsa tetapi sudah tentu mahu lebih daripada itu.
“Sandaran pingat diletakkan pada kategori kuadran dan double daripada empat kategori yang disertai. Kami nampak potensi itu pada acara double tetapi tidak menolak kemungkinan kuadran juga boleh memberi sumbangan pingat.
“Jika dapat peluang ke peringkat akhir ia satu rezeki, kerana kami ingin mengembalikan semula kegemilangan meraih pingat emas, tidak silap kali terakhir Negeri Sembilan dapat emas pada tahun 1996 acara regu di Pahang,” katanya lagi.
Mohd. Syazwan berkata, di fasa terakhir persiapan menuju kejohanan, beliau dapat lihat prestasi pemain semakin meningkat.
“Ditambah pula kesemua 14 pemain yang mewakili skuad negeri ini adalah barisan pemain muda menerusi skuad projek jangka panjang 2026-2028 yang rata-ratanya pertama kali menyertai Sukma.
“Biarpun masih baharu namun mereka telah didedahkan dengan kejohanan-kejohanan luar dimana potensinya dilihat sangat baik dan sememangnya mereka ‘dahagakan’ kemenangan pada temasya itu nanti.
“Kami juga ada ‘killer’ terbaik iaitu Putra Aidil Shah Anak Zainal dari Sekolah Menengah Kebangsaan Zaba, Kuala Pilah yang merupakan satu-satunya pemain dalam kalangan masyarakat Orang Asli dalam pasukan,”katanya.
Dalam ada itu katanya, pesaing utama skuad takraw Negeri Sembilan pada edisi kali ini adalah Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan juga Melaka yang sedang menunjukkan peningkatan.-UTUSAN.










