KOTA BELUD: Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperluas ke Kampung Kesapang Tengah meliputi 175 hektar tanaman akan membantu meningkatkan lagi tahap sara diri (SSL) beras Sabah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, program SMART SBB membantu meningkatkan pengeluaran beras domestik seperti di Sekinchan, Selangor yang terbukti berjaya.
Beliau berkata, langkah itu meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan meningkatkan SSL di Sabah serta memperkasa petani dengan pengetahuan dan teknologi yang mampu memaksimumkan hasil tanaman.
“Kejayaan program SMART SBB ala Sekinchan yang dikendalikan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) membuktikan komitmen kementerian dalam mencapai matlamat pengeluaran beras tempatan di Sabah dan memastikan keterjaminan bekalan makanan negara, terutamanya dalam subsektor beras sentiasa mencukupi dan mampan,” katanya semasa merasmikan program SMART SBB, di sini semalam.
Melalui program ini, Bernas mengumumkan penambahan empat buah mesin baharu yang boleh digunakan oleh peserta SMART SBB Kota Belud bagi meningkatkan pengeluaran padi melalui teknologi mekanisasi ladang terkini.
Sebagai rakan strategik dalam perlaksanaan SMART SBB ala Sekinchan, Bernas turut menyediakan sokongan kepada pesawah yang mengambil bahagian di dalam program ini termasuk pengurusan ladang, jentera pertanian dan latihan serta modal pendahuluan untuk menampung kos operasi.
Setakat ini, seramai 81 pesawah menyertai program SMART SBB ala Sekinchan Bernas di 10 lokasi di Kota Belud.
Terdapat peningkatan hasil padi sebanyak 1.6 tan metrik per hektar (TM/Ha) atau 62 peratus di kawasan Jawi-Jawi atau 2.6 TM/Ha kepada 4.2 TM/Ha, satu peningkatan signifikan kepada pendapatan petani.
Sejak diperkenalkan, program SMART SBB ala Sekinchan mencakupi lebih 1,904 hektar kawasan penanaman di 10 negeri, memberi manfaat kepada lebih 735 petani. – UTUSAN











