‘Hanya gambar, video pengubat rindu saya’

‘Hanya gambar, video pengubat rindu saya’

MUHAMMAD Luth Syauqi Nur Sufyan (kiri) dan Muhammad Aqil Syauqi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Hanya video dan gambar lama menjadi pengubat rindu seorang ibu kepada dua anaknya yang meninggal dunia akibat termakan keropok mengandungi racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Ahad lalu.

Nurain Hasnorizal, 25, ber­kata, selepas pengebumian Muhammad Luth Syauqi Nur Suf­yan, 2, semalam dan Muhammad Akil Syauqi, 3, Rabu lalu, dia sering teringat kedua-dua arwah anaknya.

Katanya, untuk melepaskan rindu hanya gambar dan video di dalam telefon bimbit menjadi pengubat rindu serta menggamit kembali memori bersama mereka.

“Saya reda dengan takdir yang maha esa dan pemergian mereka berdua mempunyai hikmah yang saya harus lalui.

“Sekiranya rindu kepada mereka berdua saya akan menatap gambar wajah mereka yang saya simpan dalam telefon bimbit dan jika teringat telatah mereka saya akan menonton video yang dirakam,” katanya.

Menurut Nurain, buat masa sekarang dia belum lagi bekerja dan ingin berehat buat sementara waktu bagi menenangkan dirinya selepas apa yang dialaminya seminggu lalu.

Ujarnya, dia ingin betul-betul rehat bersama ahli keluarganya dan hanya akan kembali bekerja apabila keadaannya sesuai.

“Saya akan tinggal bersama di rumah ibu bapa di Kampung Banggol Berangan, Bakai kerana mudah untuk saya menziarah kubur arwah anak-anak,” ujar­nya.

Semalam, jenazah Muhammad Luth Syauqi dikebumikan sebelah kubur abangnya di Ta­nah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, di sini kira-kira pukul 11.30 malam selepas menghembuskan nafas terakhir­nya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP pada pukul 1.30 tengah hari semalam.

Abangnya, Muhammad Akil Syauqi terlebih dahulu dijemput Ilahi kira-kira pukul 8.30 pagi, Rabu lalu.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Kedah (Cake) meminta pihak berkuasa memperketatkan garis panduan berhubung penggunaan racun serangga dari peringkat pasaran sehingga ke ladang termasuk pekebun kecil.

Presidennya, Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, penggunaan racun berkenaan jika tidak mengikut peraturan mampu memudaratkan pengguna terutama dalam kalangan kanak-kanak.

“Racun ini bagus untuk membunuh serangga dan haiwan yang tidak diperlukan namun kesan lain boleh menyebabkan kematian kepada manusia terutama kanak-kanak.

“Sukar untuk menjadikan ia sebarang barang kawalan yang berlesen kerana ia dijual merata-rata dan menjadi kesukaan ramai kerana berkesan

“Cuma kita kena usahakan supaya racun ini tidak disalahguna secara sembarangan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×