SAYA terpaku melihat susun atur pelbagai barangan antik yang terdapat di restoran Chinta by Chinoz di Bangsar ini.
Selain barangan antik, suasana dalaman restoran ini yang bersifat santai dengan dekorasi cantik serta diiringi muzik era 60-an cukup menarik, lebih-lebih lagi untuk dimuat naik dalam akaun laman media sosial. Malah, terdapat beberapa barangan seperti mesin tunai yang pernah digunakan sekitar tahun 1950-an dan koleksi stem lama berusia hampir 100 tahun di restoran ini.
Bagaimanapun apa yang lebih penting, berkunjung ke restoran ini bukan sekadar ‘mencuci mata’ melihat koleksi lama, sebaliknya menikmati pelbagai hidangan masakan Melayu tradisional.
Tidak keterlaluan kalau saya katakan keenakan hidangan tradisional di restoran ini sama sebagaimana masakan air tangan ibu-ibu.

Antara yang wajib dicuba di sini adalah rendang tok perak. Tanpa menggunakan bahan pengawet, rasa rendang ini sememangnya asli sama sebagaimana menikmati di negeri asal iaitu Perak.
Apatah lagi kelembutan daging lembu yang berurat dengan rasa rempah tersendiri. Paling terbaik, setiap gigitan daging turut terselit kerisik kelapa. Bukan itu sahaja, saiz hidangan berharga RM76 sepinggan ini cukup berbaloi, boleh dinikmati empat orang.
Chinta by Chinoz
Lokasi: No. 24, Jalan Kemuja, Bukit Bangsar, Kuala Lumpur.
Operasi: Setiap hari, dari pukul 11 pagi hingga 9.30 malam.
Selain itu, hidangan wajib dicuba di restoran ini adalah daging salai gulai lemak yang digandingkan aroma serta rasa cukup mantap. Menu berharga RM42 ini juga tidak terlalu pedas dan boleh dinikmati golongan kanak-kanak.
Bagi pengunjung yang mahu menikmati menu ikan pula, cencaru belah belakang disumbat sambal wajib dicuba.
Rasa sambal juga tidak terlalu pedas dan dimasak sempurna. Ditambah pula dengan keranggupan ikan cencaru bersaiz besar pasti membuatkan sesiapa saja berpuas hati.

Kuih muih tradisionalmerah boleh dipesan untuk mereka yang mahu mencuba menu berasaskan ayam. Namun, semua hidangan yang dinyatakan tadi tidak lengkap sekiranya dimakan tanpa kerabu pucuk paku dan taugeh serta nasi ulam.Setidak-tidaknya nikmati dan dikongsi bersama. Tidak keterlaluan saya katakan, ia merupakan pelengkap kepada kunjungan ke Chinta by Chinoz.
Dalam pada itu, pemilik Teng Wee Jeh berkata, semua masakan di restoran ini dimasak dengan hasil resipi isterinya, Sandra Samad.
“Kami juga membuka tempahan untuk mengadakan sebarang majlis dengan kapasiti antara 50 ke 70 orang,” jelasnya. – UTUSAN










