TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan memantau ‘gelombang’ ujian peluru berpandu yang berlaku di wilayah utara China, Mongolia Dalam.
Menurut kementerian, pasukan pertahanan udara negara itu juga berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa mengawasi semua aktiviti ketenteraan China.
Kementerian itu berkata, sejak pukul 4 pagi (waktu tempatan), ia mengesan pelbagai ‘gelombang pelancaran ujian’ oleh Pasukan Roket China di kawasan Mongolia Dalam, kira-kira 2,000 kilometer dari Taiwan.
“Tentera Taiwan sentiasa memantau perkembangan dan pasukan pertahanan udara diarah untuk berjaga-jaga,” kata kementerian tanpa memberikan butiran lanjut.
Taiwan, yang ditadbir secara demokratik dan dilihat Beijing sebagai wilayahnya sendiri, jarang mengeluarkan butiran mengenai apa yang dilihatnya berlaku di dalam China.
Setakat ini, tiada respons diberikan oleh Kementerian Pertahanan China.
Pasukan Roket bertanggungjawab terhadap senjata peluru berpandu konvensional dan nuklear China.
Pada Ogos 2022, China melancarkan peluru berpandu ke perairan sekitar Taiwan untuk menunjukkan kemarahan terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taipei.
Menurut sumber keselamatan, Taiwan mengendalikan stesen radar berkuasa di beberapa puncak banjaran gunung tengahnya yang boleh melihat jauh ke China.
China membenci Presiden Taiwan, Lai Ching-te, yang memegang jawatan pada Mei, menggelarnya sebagai ‘pemisah’ dan meningkatkan tekanan ketenteraan, termasuk permainan perang sejak pelantikannya.
Ching-te berulang kali menawarkan rundingan dengan China, tetapi ditolak.
Beliau menolak tuntutan kedaulatan Beijing dengan menegaskan hanya rakyat Taiwan yang boleh menentukan masa depan mereka.- REUTERS










