PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli meningkat 20.1 peratus pada Mei 2024 iaitu 25,608 tan metrik berbanding pada 21,325 tan metrik yang diperoleh pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 6.1 peratus.
Menurutnya, pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei 2024 disumbangkan terutamanya oleh 88.2 peratus daripada sektor pekebun kecil berbanding 11.8 peratus daripada sektor estet.
“Jumlah stok getah asli pada Mei 2024 menurun 16.9 peratus kepada 175,368 tan metrik berbanding 211,119 tan metrik pada bulan sebelumnya.
“Kilang memproses getah menyumbang stok akhir 91.4 peratus diikuti 8.5 peratus kilang pengguna getah dan 0.1 peratus estet getah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, eksport getah asli Malaysia yang berjumlah 50,796 tan metrik pada Mei 2024, meningkat 6.3 peratus berbanding April 2024.
Katanya, China terus kekal sebagai destinasi utama bagi eksport getah asli iaitu berjumlah 39.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2024.
“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM1.25 billion pada Mei 2024, meningkat 14.1 peratus berbanding RM1.09 bilion pada April 2024,” katanya.
Perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan 1.2 peratus yang mana manakala sekerap meningkat sebanyak 2.7 peratus.
Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula meningkat antara 1.2 peratus hingga 3.2 peratus.
Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Mei 2024, pasaran getah Kuala Lumpur bermula dengan peningkatan G.M.M 20 melonjak pada tahap tertinggi baharu iaitu pada 840.00 sen sekilogram.
“Secara amnya, sentimen pasaran dirangsang oleh saranan tegas dalam pasaran hadapan getah serantau di tengah kebimbangan bekalan bahan mentah global yang terhad di kebanyakan negara pengeluar utama berikutan cuaca hujan lebat.
“Sentimen pasaran juga disokong oleh jualan kereta yang kukuh serta langkah rangsangan terkini yang diumumkan bagi meningkatkan ekonomi China,” katanya.-UTUSAN











