PETALING JAYA: Ringgit mengukuh ke paras tertinggi dalam enam bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan menjadi mata wang Asia utama yang paling baik pada Jumaat, inflasi AS yang berkurangan menyokong kepada jangkaan pemotongan kadar Rizab Persekutuan (Fed)
Mata wang tempatan meningkat kepada setinggi 4.6520/4.6770 berbanding dolar AS pada 11.30 pagi semalam dan ditutup pada 4.6650/4.6700 berbanding 4.6860/4.6910 pada 5 petang, Khamis.
Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengukuhan ringgit susulan Fed AS dijangka semakin hampir mengurangkan kadar faedah pada September ini.
“Ini berikutan daripada sesi pembentangan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, J Powell kepada pihak Kongress AS pada minggu ini yang menyatakan keterbukaan Fed untuk mengurangkan kadar faedah pada masa akan datang.
“Selain itu, data ekonomi seperti kadar pengangguran dilihat telah meningkat ke paras 4.1 peratus pada Jun lalu berbanding 4.0 peratus pada bulan sebelumnya, manakala kadar inflasi AS pula terus merosot ke paras 3.0 peratus pada Jun berbanding 3.3 peratus sebelum ini.
“Justeru, Fed AS dijangka akan mengubah fokus daripada mengawal inflasi kepada menyokong pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, pemotongan kadar faedah dilihat menepati objektif ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Mohd. Afzanizam, penilaian agensi penarafan kredit seperti S&P Global Ratings dan Fitch Ratings juga adalah positif, terutamanya terhadap dasar reformasi ekonomi kerajaan yang dijangka memberi kesan positif dalam usaha mengurangkan defisit fiskal dan hutang kerajaan.
“Selain itu, JP Morgan menaik taraf Malaysia kepada ‘neutral’, selepas hampir enam tahun penarafan ‘underweight’, merujuk kepada reformasi dasar, pelaburan pusat data dan pembinaan infrastruktur yang signifikan dilihat membantu meningkatkan nilai ringgit.
Beliau berkata, pasaran mata wang sememangnya kekal meruap dan turun naiknya agak besar, serta sentimen pasaran boleh berubah sekiranya data ekonomi dilihat bertentangan dengan jangkaan pasaran.
“Justeru itu, data-data ekonomi seperti kadar inflasi, kadar pengguguran, daftar gaji bukan perladangan (NFP) akan terus dipantau oleh peserta pasaran dalam merangka strategi perdagangan matawang.
“Oleh itu, kerajaan perlu fokus dan konsisten dalam melaksanakan reformasi ekonomi kerana pasaran akan menyokong kepada ekonomi negara yang mahu mencapai daya saing yang tinggi.
“Jika ini berlaku, nilai ringgit mampu untuk ditingkatkan ke paras yg lebih tinggi lagi,” katanya.-UTUSAN










