BERLIN: Jerman akan menghentikan penggunaan komponen daripada gergasi telekomunikasi China, Huawei dan ZTE dalam rangkaian selular 5G pada tahun-tahun akan datang kerana kebimbangan keselamatan negara.
Ia adalah langkah terbaharu Berlin untuk mengurangkan pergantungan ekonomi kepada Beijing dan berikutan amaran daripada Kesatuan Eropah (EU) bahawa firma itu menimbulkan risiko kepada blok tersebut.
Sebahagian daripada Huawei dan ZTE tidak akan digunakan lagi dalam rangkaian mudah alih 5G ‘teras’ selewat-lewatnya pada akhir 2026, kata Kementerian Dalam Negeri.
Dalam akses 5G dan infrastruktur penghantaran, sistem firma telekomunikasi mesti diganti pada penghujung 2029.
“Kami melindungi sistem saraf pusat Jerman sebagai lokasi perniagaan – dan kami melindungi komunikasi rakyat, syarikat dan negeri.
“Kita mesti mengurangkan risiko keselamatan dan tidak seperti masa lalu, mengelakkan pergantungan satu hala,” kata Menteri Dalam Negeri, Nancy Faeser.
Kementerian itu berkata, rangkaian 5G membentuk sebahagian daripada ‘infrastruktur kritikal’ Jerman dan penting untuk berfungsi dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, pengangkutan dan tenaga.
Rangkaian telekomunikasi mesti dilindungi daripada serangan siber, yang boleh menjadi ‘ancaman wujud’, katanya.
Pegawai sudah mencapai persetujuan dengan pengendali rangkaian 5G Jerman, Deutsche Telekom, Vodafone dan Telefonica mengenai pengharaman Huawei serta ZTE.
September tahun lalu, sumber kerajaan mendakwa bahawa Berlin sedang mempertimbangkan langkah sedemikian, walaupun pelaksanaannya diumumkan lebih lewat daripada jangkaan untuk memberi tempoh syarikat berkaitan menerima pakai langkah baharu tersebut.
Faeser tidak mahu mengulas sama ada beliau bimbang dengan respons balas dari China, walaupun katanya Beijing sudah dimaklumkan mengenai larangan itu.
China dan Jerman sudah lama menjalin hubungan rapat, dengan pengeluar penting Jerman – daripada syarikat automotif hingga pembuat mesin – mengeksport sejumlah besar produk ke ekonomi kedua terbesar di dunia.
Tetapi, pencerobohan Russia di Ukraine dan seterusnya krisis tenaga mencetuskan pertimbangan semula dalam ekonomi terbesar Eropah serta mendorong Berlin untuk mencari cara mengurangkan risiko kebergantungannya dengan China.-AFP











