SAUDARA PENGARANG,
PENGURUSAN asrama sekolah dan pengurusan sekolah sering kali diintegrasikan sebagai satu entiti, namun idea untuk mengasingkan kedua-dua pengurusan ini adalah sesuatu yang wajar dipertimbangkan.
Asrama sekolah memerlukan pengurusan khusus yang melibatkan pengurus, penyelia dan warden sepenuh masa.
Tugas mereka adalah untuk memastikan penghuni asrama dapat belajar dengan selesa, tanpa ketakutan, menikmati makanan yang seimbang, terlibat dalam aktiviti sosial, menjaga kesihatan dan memastikan asrama yang kondusif.
Dengan adanya pengurusan yang berasingan, tanggungjawab antara sekolah dan asrama akan menjadi lebih jelas.
Pihak sekolah hanya akan bertanggungjawab terhadap urusan akademik tanpa terlibat lagi dalam masalah yang berkaitan dengan kebajikan dan kehidupan harian pelajar di asrama.
Ini akan membolehkan guru dan pihak pentadbiran sekolah memberikan fokus sepenuhnya kepada peningkatan kualiti pendidikan dan pencapaian akademik pelajar.
Sebaliknya, pengurusan asrama akan lebih fokus dalam memastikan pelajar mendapat persekitaran yang sesuai untuk belajar dan berkembang secara holistik. Mereka dapat memberikan perhatian yang lebih terperinci terhadap kebajikan fizikal dan mental pelajar.
Makanan yang seimbang, aktiviti sosial yang membina serta penjagaan kesihatan yang baik adalah antara aspek penting yang dapat diberikan tumpuan oleh pengurusan asrama.
Dengan pemisahan ini, pelajar juga akan mendapat manfaat yang besar. Mereka akan berada dalam persekitaran yang lebih terurus dan selamat. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti hidup dan membantu mereka untuk lebih fokus dalam pelajaran. Kehidupan di asrama yang teratur dan selesa juga akan membantu dalam pembentukan sahsiah dan disiplin diri pelajar.
Selain itu, pengurusan yang berasingan juga akan mengurangkan beban kerja pihak sekolah. Guru tidak lagi perlu menguruskan masalah disiplin dan kebajikan pelajar di asrama.
Ini akan memberikan mereka lebih banyak masa dan tenaga untuk merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran yang lebih berkesan.
Peningkatan fokus ini akan memberikan impak positif terhadap pencapaian akademik pelajar dan kualiti pendidikan secara keseluruhan.
Secara keseluruhannya, pengasingan pengurusan asrama dan pengurusan sekolah adalah satu langkah yang bijak. Ia bukan sahaja akan memperjelaskan pembahagian tugas, tetapi juga meningkatkan kualiti kehidupan dan pembelajaran pelajar.
Dengan masing-masing fokus kepada tanggungjawab mereka, pelajar akan mendapat manfaat yang optimum dari kedua-dua aspek kehidupan asrama dan pendidikan.
Pengurusan yang efisien dan berfokus akan membawa kepada pembangunan pelajar yang lebih seimbang dan holistik.-UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam









