GEORGE TOWN : Seramai 84 gelandangan yang sebelum ini menghuni Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang di sini telah memperoleh pekerjaan yang sesuai bagi mengubah taraf kehidupan mereka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim, mereka yang memperoleh pekerjaan itu berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Katanya, dengan adanya pekerjaan tersebut, mereka dapat kembali ke dalam sistem masyarakat semula.
“Sejak September tahun lalu, penghuni di sini ialah seramai 333 orang, 290 daripadanya telah keluar dengan 84 daripada mereka pula kini telah memperoleh pekerjaan.
“Mereka diterima menjadi pengawal keselamatan serta pencuci bangunan dan mampu memperoleh pendapatan sendiri untuk meneruskan kehidupan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan stesen kitar semula di Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang, di sini hari ini.
Siew Khim berkata, gelandangan yang berada di Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang itu terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang. Malah, mereka yang berasal dari Kelantan, Johor dan Sarawak juga pernah tinggal di situ.
“Di pusat ini, kita bukan sahaja memberi tempat berteduh kepada mereka, namun, kita juga membantu dari segi padanan kerja,” katanya yang memberitahu, sejak beroperasi tahun lepas, Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang telah membantu mengurangkan jumlah gelandangan di kawasan pusat bandar.
Tambah beliau, meskipun Pulau Pinang belum menjadi negeri sifar gelandangan sepenuhnya kerana bukan mudah untuk mencapai perkara ini, tetapi dengan adanya pusat itu, jumlah gelandangan yang menghuni stesen-stesen bas dan kaki lima di pusat bandar telah berkurangan,
Dalam perkembangan lain, Siew Khim berkata, stesen kitar semula yang dilancarkan hari ini di Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang merupakan langkah penting untuk memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan.
“Pada peringkat awal, pusat kitar semula ini akan beroperasi untuk kegunaan dalaman dan kita mahu memastikan penghuni memahami dengan baik tentang pengasingan sisa, terutamanya amalan kitar semula.
“Setelah asas yang kukuh dibina, pusat ini akan dibuka kepada orang awam untuk hari kutipan mingguan yang ditetapkan dan akses awam ini menandakan kejayaan penghuni dalam mengamalkan tabiat pengasingan sisa yang bertanggungjawab,” katanya.-UTUSAN










