Kemalangan jalan raya naik 89 kes di Kedah - Utusan Malaysia

Kemalangan jalan raya naik 89 kes di Kedah

FISOL Salleh (kanan) melihat komponen motosikal yang dirampas polis hasil rampasan sepanjang operasi trafik di negeri ini pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kes kemalangan jalan raya di Kedah meningkat 0.6 peratus sejak Januari hingga Jun lalu dengan jumlah 14,319 kes berbanding 14,230 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, statistik sama bagaimanapun menunjukkan kes kemalangan maut di negeri ini menurun sebanyak 26 kes bagi tempoh berkenaan.

“Kes kemalangan jalan raya berlaku sedikit peningkatan iaitu 89 kes berbanding tempoh sama tahun lepas. Kemalangan maut turun kepada 276 kes berbanding tempoh sama 302 kes tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun dari segi kedudukan tahun lepas Kedah di tempat pertama, namun tahun ini jatuh ke tempat ketiga. Dahulu Kuala Muda tertinggi namun kini kemalangan di situ menurun 2.9 peratus,” katanya dalam sidang akhbar, di sini.

Akhbar melaporkan, Malaysia menanggung kerugian lebih RM25 bilion tahun lalu bersamaan 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disebabkan kemalangan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding anggaran kerugian pada tahun sebelumnya.

Tambah Fisol, kajian polis mendapati kadar kemalangan jalan raya meningkat ketika musim perayaan dan musim hujan.

“Oleh itu semua diingatkan sentiasa berwaspada ketika berada di atas jalan raya, pandu dengan cermat dan bertimbang rasa, sentiasa amalkan pemanduan selamat iaitu secara defensif dan patuh kepada undang-undang dan peraturan lalu lintas,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 320 barangan rampasan berupa komponen motosikal seperti ekzos dan lengan ayun (swing arm) dilupuskan Polis Kedah.

Fisol berkata, polis berjaya menyita 1,058 barangan ubah suai motosikal itu di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 hasil operasi yang dijalankan di seluruh negeri. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini