Polis rampas dadah bernilai RM5.02 juta, dua ditahan - Utusan Malaysia

Polis rampas dadah bernilai RM5.02 juta, dua ditahan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Tindakan licik satu sindiket mengedar pelbagai dadah termasuk gula-gula getah dicampur bahan terlarang itu terbongkar selepas dua lelaki ditahan di dua lokasi pada 10 Julai lalu.

Menerusi serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) itu berjaya merampas pelbagai dadah bernilai RM5.02 juta.

Pengarah JSJN, Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 2.10 petang itu, dua stor penyimpanan dadah terletak di sebuah pangsapuri di Cheras dan sebuah unit kondominium di Seri Kembangan Selangor telah diserbu.

Kata beliau, suspek pertama yang ditahan berperanan sebagai penjaga stor penyimpanan dadah dengan mendapat upah sebanyak RM6,000 sebulan.

“Manakala, suspek kedua pula berperanan sebagai ‘runner’ menghantar dadah-dadah berkenaan kepada pelanggan mereka dengan menerima upah RM4,500 sebulan,” katanya dalam sidang akhbar di IPKKL di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, siasatan lanjut mendapati pangsapuri dan kondominium berkenaan telah disewa oleh ahli sindiket yang lain.

Katanya, kedua-dua suspek tidak mengetahui disewa atas nama siapa dan juga kadar sewa yang dikenakan.

“Semakan juga mendapati kenderaan yang digunakan mereka sebagai pengangkutan untuk menghantar dadag juga menggunakan nama individu lain.

“Kita percaya, sindiket ini aktif sejak tiga bulan lalu dan dadah yang dirampas adalah bagi pasaran di
sekitar Lembah Klang, Utara dan Selatan Semenanjung Malaysia,”jelasnya.

Tambah beliau, hasil serbuan dilakukan, pelbagai dadah terdiri 165 Kilogram (kg) methylene dioxy-methamphetamine (MDMA) diikuti ketamin (9kg) ; Ekstasi (7.5kg) ; pil erimin 5 (4.5kg) ; gula-gula getah mengandungi kokain (1.6kg) dan syabu (458 gram) dirampas.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan seramai 120,000 orang penagih,” ujarnya.

kedua-dua suspek berusia 22 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan hasil ujian saringan awal air kencing seorang daripada mereka positif dadah ketamin manakala seorang lagi negatif sebarang dadah.

Kok Chin berkata, kedua-dua mereka direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 Julai bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita juga menyita harta yang dianggarkan bernilai RM25,000 selain merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios.

“JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlalu di sekeliling mereka dengan menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×