Kerajaan tidak halang ideologi ‘childfree’

Kerajaan tidak halang ideologi ‘childfree’

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menghalang pasangan berkahwin enggan mempunyai anak, pada masa sama memberi fokus penuh membantu pasangan yang menginginkan cahaya mata.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pasangan tersebut berhak memilih sama ada ingin mempunyai anak atau tidak dalam perkahwinan mereka.

Namun, menurut beliau, kerajaan akan terus menggalakkan mereka untuk mempunyai anak menerusi pelbagai inisiatif dan usaha yang dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Childfree adalah satu ideologi orang-orang tertentu yang mungkin mereka merasakan pada masa ini tidak mahu mempunyai anak sebab ia akan menyukarkan mereka ataupun mungkin (rasa) boleh dapat anak angkat. Kita nak (tekankan) hak kebebasan semua orang.

“Cuma bagi kami, kita kena lakukan yang terbaik untuk negara dan mereka yang mahukan anak tetapi tidak dapat, banyak (pasangan macam itu). Kita tidak ganggu orang yang tidak mahu anak tetapi nak bantu yang mahukan anak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-6 (KPKM-6) 2024 di Auditorium Asian International Arbitration Centre (AIAC), di sini.

Sementara itu, bercakap mengenai pelaksanaan KPKM-6, Nancy berkata, lebih 35,000 kampung akan terlibat.

“Penemubual akan turun ke rumah-rumah ini bersama pihak berkuasa untuk menemani mereka. Kita tidak mahu orang yang ditemubual takut.

“Kita sudah letakkan kriteria dan ia disasarkan seperti mana yang diperlukan (oleh) Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Jadi, ini cara kita menjalankan (kajian tersebut).

“KPWKM sudah melaksanakan promosi kajian tersebut secara dalam talian dan menerusi saluran media lain supaya rakyat sedia maklum mengenai perkara yang akan berlaku,” katanya.

Tambahnya, kajian tersebut akan dijalankan bermula 15 Julai hingga 31 Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×