Jika diamati pada setiap rekaan fesyen sedia ada, rata-rata pereka fesyen sering mempertaruhkan gaya berani dan versatil. Tidak terkecuali Ohclassychic. Pengasasnya, Nur Alia Anis Adnan, 26, selesa menampilkan potongan longgar tetapi bergaya dalam koleksi koleksi Clara Dress Shirt.
Bercirikan loose dan baggy ia menyediakan enam tona alam antaranya krim, coklat dan mustard. “Warna sebegini sesuai dengan pelbagai jenis tona kulit. Malah turut mudah disuai padan dengan gaya anda ingini,” katanya.
Warna penting untuk memastikan penampilan individu kekal elegan dan menawan.
Memakai baju warna yang terang, boleh meningkatkan keyakinan.
Namun kebijaksanaan mix-match turut penting dalam berpakaian warna terang.
Ini bagi mengelakkan pakaian yang digayakan tidaklah nampak pelik.
Pakaian khusus wanita bertumbuh gempal itu sebetulnya turut dihasilkan Nur Alia, bagi memenuhi selera fesyennya.
“Saya juga tergolong dalam kalangan wanita bersaiz besar. Jadi saya faham sangat dengan permasalahan mereka setiap kali mahu mencari pakaian.
“Ada pun pilihannya, ia agak terhad dan corak pula tidak padan,” katanya.

Walaupun memfokus kepada pakaian untuk wanita bersaiz besar, hakikatnya fesyen itu universal dan tidak terikat.
Sementelah itu, Alia melihat golongan wanita berhijab kini semakin ramai dan pandai bergaya serta tidak mahu terlepas dengan trend fesyen terkini.
“Busana ini juga amat bersesuaian dengan Muslimah kerana potongannya longgar, sopan dan tidak keterlaluan.
“Mereka boleh bergaya dengan koleksi ini sambil mengekalkan ciri Muslimah bersama seluar atau pun skirt labuh.
“Kemasan pleated pada bahagian lengan memberikan kelainan,” katanya.
Potongan kolar V sebagai nilai tambah kerana ia membentuk illusi tubuh lebih langsing pada pemakai.
FABRIK
Mengenai fabrik, katanya ia mengetengahkan kain kapas yang lebih selesa dengan cuaca tempatan.
Fabrik berkenaan turut tidak mudah melekap di badan.
Malah, potongan busana besar, turut serasi dengan wanita hamil menyusukan bayi.
“Material ringan, flowly dan longgar ini dapat memberikan keselesaan. Ia menyuntik gaya santai. Malah kalau betul penggayaan, ia akan tampak formal untuk hadir ke majlis rasmi,” katanya.
Justeru Alia, berharap kehadiran jenamanya itu kelak dapat memberi keyakinan kepada gadis untuk berfesyen.
“Yang pastinya setiap orang mampu kelihatan cantik dan menawan sekiranya tahu untuk menggayakan busana mengikut postur badan sendiri,” jelasnya.










