KOTA BHARU: Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu berjudi di tempat awam dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Edwin Ihsan Sahdoni, 31, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai aksesori telefon bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berjudi di tempat awam iaitu di sebuah kedai aksesori telefon di Kampung Gertak Kechupu di sini kira-kira pukul 11.45 malam pada 27 Jun lalu.
Edwin Ihsan didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk masuk ke negara ini di lokasi dan masa yang sama pada 1 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya serta tidak lebih enam sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Syazalia tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh merupakan warga asing dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen – UTUSAN










